LONDON, 31 Jan – Pelaburan dalam pengeluaran kereta Britain merosot hampir separuh pada tahun 2018 dalam trend ‘membimbangkan’ sebahagiannya disebabkan ketidakpastian mengenai Brexit, menurut angka yang dikeluarkan hari ini oleh sebuah badan industri.
Data tahunan Persatuan Pengeluar Kereta (SMMT) menunjukkan pelaburan dalam sektor itu merosot sebanyak 46.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, kepada 589 juta pound.
Sementara itu, pengeluaran kereta keseluruhan merosot sebanyak 9.1 peratus apabila ‘kemelesetan domestik dan global menerima kesannya’, menurut laporan.
Kemerosotan yang lebih tinggi daripada yang dijangka mendorong ketua SMMT mengeluarkan amaran bahawa meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tanpa satu perjanjian akan memberi kesan ‘teruk’ kepada industri.
“Angka untuk tahun lalu adalah membimbangkan,” kata Ketua Eksekutif Mike Hawes.
“Ia menunjukkan pelabur telah berhenti seketika. Mereka menunggu untuk melihat situasi dalam hubungan jangka panjang di antara United Kingdom (UK) dan EU.”
Memaham akan dasar mereka, Hawes menambah: “Itulah sebabnya kenapa kami memerlukan satu perjanjian secepat mungkin untuk mengetahui pelaburan untuk masa depan.”
Britain dibelenggu ketidakpastian tatkala ia bersedia untuk meninggalkan EU pada 29 Mac selepas menjadi ahli selama 45 tahun.
Hubungan masa depan negara dengan blok masih belum diselesaikan selepas wakil rakyat pada awal bulan ini menolak perjanjian perpisahan yang dicapai oleh Perdana Menteri Theresa May dengan Brussels.
Kebuntuan parlimen telah menambah prospek Britain – ekonomi kelima terbesar di dunia – disingkirkan daripada EU tanpa satu perjanjian dan beroperasi berdasarkan syarat-syarat Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
Hawkes mengingatkan senario sedemikian akan mengakibatkan ‘perbalahan di sempadan dan kehilangan daya saing’.
Beliau berkata: “Untuk meninggalkan EU tanpa satu perjanjian akan membawa kesan teruk untuk industri. Apa yang kami perlukan sekarang adalah pragmatisme.” – AFP