BINTULU, 16 JULAI – Pelaburan RM2 bilion oleh OCI Tokuyama Semiconductor Materials Sdn Bhd (OTSM) bagi membina kilang polisilikon gred semikonduktor di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu merupakan satu pencapaian strategik, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata ia mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor global.
Menurutnya, pelaburan usaha sama di antara OCI Company Ltd dari Korea Selatan dengan Tokuyama Corporation dari Jepun mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kestabilan politik, infrastruktur perindustrian serta visi pembangunan jangka panjang Sarawak.
“Ini menandakan satu pencapaian penting dalam memajukan pembangunan industri berteknologi tinggi di rantau ini.
“Ia juga menyerlahkan komitmen kami terhadap kerjasama mampan yang akan memacu masa depan,” katanya sewaktu menghadiri majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang itu di Bintulu hari ini.

Abang Johari berkata kemudahan tersebut dijangka menjadi pertama seumpamanya di luar Jepun dan Korea Selatan yang akan menghasilkan polisilikon berketulenan tinggi iaitu bahan penting digunakan dalam pengeluaran semikonduktor untuk telefon pintar, kenderaan elektrik, pusat data dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata projek itu menyokong Rangka Kerja Strategik Semikonduktor Sarawak yang bertujuan menjadikan negeri ini sebagai hab serantau bagi pembuatan teknologi termaju.
“Dengan pelaburan ini, Sarawak mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor global dan semakin hampir untuk menjadi hab teknologi serantau,” katanya.
Menekankan kredibiliti tenaga hijau Sarawak, Abang Johari berkata 70 peratus daripada tenaga elektrik Sarawak dijana daripada kuasa hidro, disokong oleh teknologi solar yang sedang berkembang sekali gus meletakkan Sarawak sebagai lokasi utama untuk pelaburan yang lestari dan mesra alam.
“Kelestarian merupakan teras kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) kami. Dengan tenaga hijau daripada hidro dan solar, Sarawak bersedia untuk menyokong permintaan global terhadap bahan hijau yang diperakui,” katanya. – Bernama