Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaburan, peluang perniagaan Brunei dipromosikan di Australia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) mengambil bahagian dalam Forum Perniagaan ASEAN-Australia yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sydney dari kelmarin hingga esok (31 Ogos).

    Acara yang dianjurkan oleh Forum Perniagaan ASEAN-Australia bertemakan Hala Tuju Baharu dengan Peluang Baharu bertujuan untuk menghubungkan, berdagang, berurus niaga dan memupuk hubungan antara negara ASEAN dan Australia.

    Sebagai sebahagian daripada Pameran ASEAN, LKEB mewakili Negara Brunei Darussalam untuk mempromosikan pelaburan dan peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat dan organisasi-organisasi Australia.

    Pameran itu menampilkan usaha kolaboratif, termasuk penghasilan Airport Economist Brunei Episode yang mengetengahkan kisah kejayaan perniagaan dan pelaburan Brunei dalam sektor seperti makanan, hiliran minyak dan gas, pelancongan dan perkhidmatan.

    Inisiatif tersebut bertujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan Australia ke Negara Brunei Darussalam.

    Daniel Leong semasa mengendalikan Perbincangan Panel Pameran Brunei yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sydney. – GAMBAR SERAHAN LKEB

    Perbincangan Panel Pameran Brunei, yang dikendalikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LKEB, Daniel Leong, menampilkan penceramah termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Royal Brunei Culinary (RBC), Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial; Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Adinin dan ahli Majlis Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Haji Musa bin Haji Adinin; dan Profesor Tim Harcourt iaitu ahli ekonomi Australia terkenal yang dikenali sebagai The Airport Economist.

    Panel tersebut meneroka peluang kerjasama yang berpotensi antara Brunei, Australia, dan rantau ASEAN yang lebih luas.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam sejajar dengan tema forum, mencerminkan cita-citanya dalam ekonomi hijau, peralihan tenaga, pertanian, keselamatan makanan, dan transformasi digital.

    Penglibatan itu juga menyokong cadangan Pelan Tindakan Australia-Brunei Darussalam 2024-2027, yang merupakan sebahagian daripada Perkongsian Komprehensif antara Komanwel Australia dan Brunei Darussalam.

    Forum Perniagaan ASEAN-Australia menandakan satu peristiwa penting, meraikan ulang tahun ke-50 hubungan Australia dengan negara-negara anggota ASEAN dan memajukan Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia untuk 2040.

    Forum berkenaan menampilkan lima panel interaktif membincangkan topik utama: Ekonomi Hijau dan Peralihan Tenaga, Pertanian dan Keselamatan Makanan, Daya Tahan Perubatan dan Kesihatan, Transformasi dan Inovasi Digital, serta Start-Ups and Venture Capital Investment.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda