Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelaburan terkini Malaysia di Kazakhstan bernilai AS$1 bilion

    KUALA LUMPUR, 31 DIS – Pelaburan Malaysia di Kazakhstan setakat ini berjumlah AS$1 bilion, kata Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev.

    Menurut beliau, Nur-Sultan dan Kuala Lumpur mencapai tahap Perkongsian Komprehensif dalam hubungan dua hala pada 2014 dan kedua-dua negara telah menubuhkan Jawatankuasa Perdagangan dan Ekonomi Bersama.

    Sugurbayev berkata kedua-dua negara yang berkongsi banyak nilai bersama sedang giat bekerjasama dalam industri Halal, Kewangan Islam, Minyak dan Gas dan Teknologi Kewangan (Fin-Tech).

    Menurut beliau Kazakhstan memperoleh keyakinan pelabur dan berjaya menarik hampir AS$400 bilion pelaburan asing sejak kemerdekaan pada 1991.

    “Hari ini Kazakhstan menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai, boleh dijangka dan bertanggungjawab. Malaysia telah menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan kami,” katanya dalam ucapannya di Meja Bulat “30 Tahun Kemerdekaan Kazakhstan: Perkongsian dengan Malaysia” di sini, baru-baru ini.

    Turut hadir pada acara maya itu ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker, wakil Kementerian Luar dan juga ahli komuniti perniagaan Malaysia.

    Antara ahli Parlimen Kazakhstan yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Pertahanan dan Keselamatan Mazhilis (Dewan Perwakilan) Parlimen Kazakhstan dan Pengerusi Kumpulan Persahabatan Antara Parlimen Aigul Kuspan dan Ahli Mazhilis Baurzhan Sartbayev dan Zulfiya Suleimenova.

    Sugurbayev juga menyatakan Kazakhstan dan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada Mac tahun depan dan negara itu merancang untuk menganjurkan beberapa acara khusus sempena hari bersejarah itu.

    “Apabila sekatan berkaitan pandemik ditarik balik, kami menjangkakan lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara bagi mengukuhkan lagi hubungan politik, ekonomi dan hubungan antara rakyat,” katanya.

    Kuspan menyebut Perkongsian Komprehensif antara Kazakhstan dan Malaysia mencerminkan semangat persahabatan dan persaudaraan antara kedua-dua negara.

    “Kami mengalu-alukan pertumbuhan diplomasi Parlimen dan penubuhan Kumpulan Persahabatan Parlimen pada 2019 antara Kazakhstan dan Malaysia, yang akan memberi satu lagi rangsangan kepada kerjasama erat dua negara”, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda