‘Pelaburan tidak rasional’

BEIJING, 6 Jan – China mengarahkan sekatan ke atas jumlah mega yang dikeluarkan untuk membeli bintang bola sepak asing dan gaji mereka selepas pemain berprofil tinggi Oscar dan Carlos Tevez menyertai kelab di negara ini.

Perlu ada tindakan terhadap ‘pelaburan tidak rasional’ dan kerajaan akan ‘mengawal dan menghalang pemain mahal dan membuat sekatan munasabah ke atas pemain pendapatan tinggi’, jurucakap Pentadbiran Am Sukan memberi amaran.

Kelab muflis boleh ditendang keluar dari Liga Super China, yang telah mengalahkan Liga Perdana Inggeris dalam perbelanjaan perpindahan baru-baru ini untuk menarik nama-nama besar.

Pemain antarabangsa Brazil Oscar berpindah ke Liga Super China (CSL) dengan menyertai Shanghai SIPG dari Chelsea dengan perjanjian 60 juta euro (AS$63 juta), manakala Tevez pula tidak dapat menolak tawaran Shanghai Shenhua dalam perjanjian berasingan yang lumayan.

Walaupun yuran perpindahan bekas penyerang Manchester United dan Manchester City dari Argentina itu agak remeh sekitar 10.5 juta euro, menurut laporan, tetapi pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan bersedia untuk menjadi pemain bergaji tertinggi di dunia dengan kontrak dua tahun untuk 38 juta euro setiap musim.

Seorang peminat mengambil selfie ketika idol bola sepak mereka Carlos Tevez menandatangani autograf selepas menyempurnakan majlis perkahwinannya di sebuah gereja di Buenos Aires, Argentina pada 22 Disember 2016. Tevez menyertai kelab Shanghai Shenhua dengan bayaran 38 juta untuk setiap musim. – AP
Seorang peminat mengambil selfie ketika idol bola sepak mereka Carlos Tevez menandatangani autograf selepas menyempurnakan majlis perkahwinannya di sebuah gereja di Buenos Aires, Argentina pada 22 Disember 2016. Tevez menyertai kelab Shanghai Shenhua dengan bayaran 38 juta untuk setiap musim. – AP

Perjanjian Oscar dengan Shanghai SIPG dikatakan sebanyak 24 juta euro semusim, yang meletakkannya di depan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi Barcelona.

Oscar dan Tevez mengikuti jejak penyerang Itali Graziano Pelle, Hulk dari Brazil, Jackson Martinez dari Colombia dan Alex Witsel dari Belgium, yang termakan umpanan China dengan tawaran gaji yang besar.

Witsel yang menolak tawaran Juventus untuk pergi ke China berkata, beliau telah memikirkan masa depan kewangan keluarganya.

Jurulatih terkemuka seperti Manuel Pellegrini (Hebei Fortune), Luiz Felipe Scolari (Guangzhou Evergrande), Andre Villas-Boas (Shanghai SIPG) dan Sven Goran Eriksson (Shenzhen FC) juga antara jurulatih yang tewas kepada tarikan kekayaan Cina.

Tawaran terhebat di dunia itu merupakan sebahagian daripada usaha tergesa-gesa Cina untuk menguasai arena bola sepak yang berbau politik.

Pasukan kebangsaan China berada pada ranking ke-82 di dunia, di bawah negara pulau Caribbean St Kitts dan Nevis dengan penduduk kurang daripada 60,000 tetapi Presiden Xi Jinping telah mengisytiharkan harapannya untuk menjadi penganjur dan pemenang Piala Dunia, sekali gus menyebabkan pasukan utama berbelanja bagai nak rak.

Perbelanjaan gila telah mencetuskan kritikan di China. Ramai peminat telah mempersoalkan jumlah wang yang besar itu lebih baik dibelanjakan untuk membina infrastruktur ketinggalan negara berbanding bakat dalam sukan ini. Liga lain juga telah memberi isyarat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai perbelanjaan di China.

“Pasaran China bahaya untuk semua pasukan di dunia. Bukan hanya untuk Chelsea, tetapi semua pasukan di dunia,” kata pengurus Chelsea Antonio Conte bulan lepas. Pemain antarabangsa Brazil Ramires meninggalkan Chelsea untuk menyertai China 12 bulan yang lalu.

Pengurus Arsenal Arsene Wenger menyifatkan perbelanjaan Cina sebagai ‘penyelewengan’ yang boleh menjadi ancaman kepada Liga Perdana Inggeris.

Tanpa memberikan angka, para pegawai pentadbiran sukan atau agensi kerajaan yang mengawal sukan di China berkata, kerajaan akan ‘menetapkan had syiling’ untuk yuran perpindahan dan gaji pemain.

Usul itu akan mempertimbangkan langkah-langkah seperti yuran daripada kelab-kelab yang berbelanja sakan untuk menyokong program pembangunan belia.

“Kita mesti membina kelab untuk 100 tahun sebagai matlamat. Kami akan mengeluarkan kelab yang muflis dari liga profesional,” kata jurucakap itu sambil menambah bahawa penyeliaan kewangan kelab akan diperkukuhkan dan perbelanjaan mereka ke atas pemain akan dikawal.

Pada Disember lalu, Persatuan Bola Sepak China mengumumkan akan mengurangkan bilangan pemain luar negara yang dibenarkan dalam pasukan tempatan daripada lima kepada empat orang sahaja. – AFP