Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Mahkamah Majistret hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas seorang lelaki penduduk tetap berusia 40 tahun kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Tertuduh, Jeremy Ang Nyok Foo bagaimanapun merayu pertimbangan daripada Pemangku Majistret Kanan, Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof dengan alasan dia amat memerlukan wang setelah kehilangan pekerjaan akibat COVID-19.
Mahkamah mendapati tertuduh sebelum ini mempunyai sabit kesalahan yang sama.
Menurut fakta kes dikemukakan oleh Pendakwa Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin, tertuduh telah ditemui bersama seorang lelaki di sebuah rumah oleh penguatkuasa pencegah maksiat pada jam 3:11 petang 27 April.
Tertuduh ditahan dan telefon bimbitnya dirampas berserta wang tunai $100 yang kemudiannya disahkan sebagai bayaran bagi perkhidmatan seks yang ditawarkannya kepada lelaki berkenaan.
Tertuduh mengaku dia pernah melakukan perbuatan yang sama tetapi telah berhenti, sehinggalah pada hari dia ditahan atas alasan terdesak memerlukan wang.