Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Tiga orang lelaki tempatan berusia 21 tahun didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Mohammad Muizzuddin bin Mohamad Zahkrine didakwa mengupah seorang wanita warga Vietnam, Pham Thi Chung, 25, untuk tujuan pelacuran dan memperoleh pendapatan melaluinya sekitar Januari 2017.
Mohammad Wafi Izzwandi @ Talif bin Johndri dan Mohammad Aiman bin Haji Omardani berdepan tuduhan bersubahat dengan Mohammad Muizzuddin untuk mengupah Pham Thi Chung untuk pelacuran.
Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Sementara itu, Pham Thi Chung dan Tran Thi Kim Duyen, 31, mengaku bersalah kerana bersetuju untuk menawarkan perkhidmatan seksual untuk mendapatkan wang.
Tran Thi Kim Duyen tiba pada 1 November 2016 menggunakan pas melawat manakala Pham Thi Chung tiba di negara ini pada 6 Januari 2017, juga dengan pas melawat. Kedua-dua wanita ini saling mengenali sejak dari Vietnam.
Ketika Pham Thi Chung tiba di negara ini, Tran Thi Kim Duyen memberitahunya yang dia boleh mendapatkan wang melalui aktiviti pelacuran.
Pham Thi Chung yang ketika itu memerlukan wang bersetuju untuk terlibat sama.
Aktiviti pelacuran yang dijalankan itu terbongkar apabila anggota dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat menyerbu rumah di Kampung Manggis pada 10 Januari dan menemui kedua-dua wanita itu bersama lelaki di bilik berasingan.
Anggota dari unit tersebut menemukan paket kondom dan wang berjumlah $332 dan mata wang Vietnam 860,000 (mata wang Brunei $55).
Tran Thi Kim Duyen ketika disoal siasat mengaku bersetuju untuk melibatkan diri dalam aktiviti pelacuran dan mengenakan bayaran antara $90 hingga $100 di mana dia mendapatkan pelanggan melalui media sosial.
Antara 3 hingga 6 Januari, Tran Thi Kim Duyen mengaku telah mendapatkan 11 orang pelanggan.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menetapkan 8 Februari untuk sebutan ketiga-tiga tertuduh lelaki dan 30 Januari untuk menjatuhkan hukuman terhadap dua wanita warga Vietnam berkenaan.