Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar antarabangsa dilarang jual akaun bank, dokumen pengenalan

    CANBERRA, 19 NOV – Pihak berkuasa Australia hari ini telah memberi amaran kepada pelajar antarabangsa yang akan meninggalkan negara itu supaya tidak menjual akaun bank atau pengenalan rasmi mereka kepada kumpulan jenayah terancang.

    Polis Persekutuan Australia (AFP) Bersama Pusat Penyelarasan Jenayah Siber Polis berkata dalam satu kenyataan, sindiket jenayah yang terlibat dalam kegiatan haram sedang menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi antarabangsa dengan tawaran wang tunai sebagai pertukaran untuk akses kepada akaun bank dan dokumen pengenalan diri mereka.

    Menurut pihak berkuasa, pelajar asing yang bersedia untuk meninggalkan Australia ditawarkan sehingga A$500 untuk penggunaan akaun bank mereka serta komisen sekitar 10 peratus daripada wang yang dimasukkan ke dalam akaun itu.

    AFP berkata penjenayah kemudian menggunakan akaun itu untuk kegiatan seperti pengubahan wang haram dan operasi penipuan berskala besar, sekali gus berisiko mengaitkan pelajar terbabit dengan rangkaian jenayah.

    Dokumen pengenalan diri seperti pasport, lesen memandu dan pengenalan rasmi kerajaan yang boleh digunakan penjenayah untuk membuka akaun bank atas nama pelajar terbabit juga mendapat permintaan tinggi, menurut AFP.

    Detektif Superintenden AFP, Marie Andersson berkata pelajar yang menjual akaun bank atau dokumen kepada sindiket jenayah boleh berdepan pertuduhan jenayah, pembatalan visa serta larangan kekal untuk kembali ke Australia. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda