Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Pelajar-pelajar dari ASEAN dan Jepun telah menerima pengiktirafan daripada Cyber Security Brunei (CSB) atas usaha mereka dalam menghasilkan video-video kesedaran keselamatan siber, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh CSB, di sini, CSB telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Video Keselamatan Siber ASEAN-Jepun 2025 semasa Mesyuarat Dasar ASEAN-Jepun ke-18 yang berlangsung di Tokyo, Jepun.
Kini berada dalam tahun ketiga, pertandingan berkenaan merupakan satu inisiatif oleh CSB memandangkan Brunei Darussalam merupakan peneraju bagi aktiviti kolaboratif meningkatkan kesedaran bersama dalam Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN-Jepun.
Pada September lalu, CSB telah mengadakan acara penghakiman yang dihadiri oleh wakil-wakil dari negara-negara anggota ASEAN dan misi diplomatik Jepun selaku hakim. Hakim dari Brunei Darussalam ialah wakil dari Persatuan Keselamatan Siber Brunei (BCSA).
Para hakim telah menilai kesemua video yang dihantar dan memberikan markah berdasarkan mesej sekuriti siber yang jelas, kreativiti dan kualiti video berkenaan.


Kesemua 11 video yang dihantar telah dipamerkan semasa Mesyuarat Dasar Keselamatan Siber ASEAN-Jepun ke-18 di Tokyo, Jepun dengan Pesuruhjaya Interim CSB, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis menyampaikan anugerah kepada wakil setiap negara anggota ASEAN dan Jepun.
Tempat pertama telah dianugerahkan kepada Republik Demokratik Rakyat Laos dengan video bertajuk, Recognizing and Avoiding Phishing Scams, sebuah video animasi yang menyentuh bagaimana mengenali dan mengelakkan penipuan pancingan data, menggabungkan bercerita dengan tip keselamatan siber untuk mempromosikan kewaspadaan dalam talian.
Phonesavanh Sounakhen, seorang pelajar dari Fakuliti Kejuruteraan, National University of Laos, memenangi hadiah wang tunai AS$2,000. Menerima anugerah berkenaan bagi pihak pelajar berkenaan ialah Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Siber, Kementerian Teknologi dan Komunikasi (MTC), Republik Demokratik Rakyat Laos, Kamla Sounnalat.
Tempat kedua dianugerahkan kepada Negara Brunei Darussalam dengan video bertajuk, Change Your Default Password, sebuah video yang mengetengahkan risiko kata laluan default dan menggalakkan penggunaan kata laluan unik dan kukuh untuk melindungi peranti dan maklumat peribadi daripada penggodam.
Video itu dihasilkan oleh Dayang Fatin Farida binti Haji Asri, seorang pelajar dari Universiti Teknologi Brunei (UTB), yang memenangi hadiah wang tunai AS$1,500.
Menerima anugerah berkenaan bagi pihak pelajar berkenaan ialah Ketua BruCERT, CSB, Awang Ahmad Mua’azam Lim bin Abdullah.
Tempat ketiga dianugerahkan kepada Jepun dengan video bertajuk, Can You Truly Trust That Message, yang dihasilkan oleh Toubou Yukito, seorang pelajar dari Rakuyo General High School.
Beliau memenangi hadiah wang tunai AS$1,000. Ketua Strategi Global, National Cybersecurity Office (NCO), Jepun, Saita Yukio, telah menerima anugerah itu bagi pihak pelajar berkenaan.

