Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Seramai 243 orang pelajar telah mendaftar untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam (NRC) bagi sesi Julai 2025 semasa Majlis Pendaftaran Pelajar-pelajar bagi Kemasukan Pelajar Sesi Julai 2025 yang berlangsung di Dewan Serba guna IBTE NRC pada 10 dan 11 Jun lalu.
Pembukaan Majlis bagi Minggu Orientasi Kampus-kampus IBTE telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 10 Julai yang menyaksikan kehadiran pelajar-pelajar baharu IBTE.
Sementara itu, Minggu Orientasi bagi pelajar-pelajar baharu IBTE NRC bermula dengan majlis yang berlangsung di Dewan Serba guna IBTE NRC, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Ketua Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan, Awang Noorisman bin Mentaris dalam ucapannya menzahirkan perasaan syukur dan teruja dapat bersua secara langsung dengan para pelajar baharu yang diterima masuk meskipun tetap menerapkan langkah-langkah keselamatan dalam suasana norma baharu itu.
Beliau juga menyeru semua pelajar baharu supaya memanfaatkan peluang itu untuk bersedia menjadi pelajar yang berkebolehan, berkemahiran, mampu bersaing untuk memperoleh kejayaan serta melengkapkan diri dengan sifat-sifat yang berani dan cekal sama ada secara fizikal, rohani, intelek dan sosial.
Mereka juga digesa untuk terus sentiasa berusaha bagi mendidik dan memperkasa jati diri selepas tamat pengajian program di IBTE.
Selain itu, Awang Noorisman juga menasihatkan para pelajar untuk bersedia menetapkan komitmen dalam merealisasikan matlamat peribadi dan akademik yang tinggi bagi diri mereka sendiri di samping menjadi proaktif serta sentiasa melibatkan diri secara berpasukan sama ada dalam aktiviti akademik dan kokurikulum.
Minggu orientasi bagi pelajar-pelajar berkenaan diteruskan pada 14 Julai dan berakhir pada 18 Julai nanti.
Program orientasi tersebut telah dirancang padat dengan sesi taklimat dan pelbagai aktiviti yang direka khas untuk membantu pelajar-pelajar baharu menyesuaikan diri dengan pembelajaran di IBTE.
Aktiviti-aktiviti berkenaan termasuk sesi taklimat berbentuk informatif mengenai keselamatan (HSE), ceramah motivasi daripada pihak kaunseling, taklimat disiplin, taklimat peraturan peperiksaan dan penilaian, lawatan kampus dan lawatan perpustakaan kampus.
Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga dikendalikan berbentuk aktiviti bekerjasama dan berkumpulan yang menarik, yang dikelolakan oleh Kelab STARS (Students Activities Rewards System) dan Majlis Perwakilan Pelajar IBTE NRC untuk memastikan peralihan yang lancar ke dalam kehidupan di kampus.
Ia diharapkan dapat membantu para pelajar baharu untuk berhubung dengan rakan-rakan sebaya, sambil meneroka kemudahan dan perkhidmatan kampus untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam persekitaran akademik yang baharu.
Pihak kampus berharap pelajar-pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan cara kehidupan di kampus termasuk persekitaran, kaedah pengajian, budaya dan aspek pembinaan sahsiah, di samping persediaan menghindari pelajar daripada terjebak dengan kejutan budaya serta masih menggunakan mentaliti mereka di alam fasa sekolah mereka sebelum ini.