Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hari ini, telah mengendalikan Majlis Amanat dan Ikrar Pelajar Baharu UNISSA bagi sesi pengajian 2021/2022 yang juga menandakan bermulanya Minggu Taaruf Pelajar Baharu UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ini ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norafan bin Haji Zainal.
Seramai 534 orang mahasiswa dan mahasiswi telah diterima masuk untuk mengikuti pelbagai program pengajian di peringkat lepas ijazah, sarjana muda dan diploma di UNISSA bagi sesi pengajian 2021/2022.
Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 28 peratus berbanding kemasukan tahun lalu dan jumlah yang tertinggi bagi kemasukan pelajar baharu di UNISSA setakat ini.
Dr Haji Norafan dalam ucapan amanatnya mengingatkan pelajar agar memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kerohanian serta mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu kemahiran termasuk memiliki kefahaman menyeluruh mengenai penggunaan segala jenis teknologi terutama teknologi digital serta berfikiran jauh ke hadapan menciptanya yang memberi pulangan manfaat kepada pembangunan agama dan negara.
Beliau juga menekankan bahawa resipi kejayaan sebagai seorang pelajar ialah melazimkan diri dengan usaha dan doa.
Dua perkara ini, sangat penting dalam menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Usaha adalah tangga kejayaan, manakala doa pula adalah senjata bagi orang-orang mukmin, jelas beliau.
Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran sebelum ucapan alu-aluan oleh Dekan Pelajar, Dr Supri bin Haji Sudin selaku pengerusi Minggu Taaruf bagi pelajar baharu UNISSA sesi 2021/2022.
Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh salah seorang mahasiswa Tahun 1.
Minggu Taaruf tahun ini dijadualkan selama tujuh hari dan akan berakhir pada 1 Ogos depan.
Antara pembaharuan dalam pengisian Minggu Taaruf pada tahun ini ialah Program Taaruf Camp yang akan diadakan di Kompleks Program Khidmat Bakti Negara, Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong bermula 30 Julai hingga 1 Ogos yang mewajibkan semua pelajar baharu untuk tinggal di kompleks berkenaan untuk mengikuti aktiviti berunsur kerohanian, motivasi dan khidmat masyarakat.
Minggu Taaruf antara lain bertujuan untuk memperkenalkan pelajar baharu tentang budaya pembelajaran di UNISSA melalui program kerohanian, jati diri dan khidmat masyarakat di samping memberikan peluang untuk mengenali sistem pentadbiran UNISSA.
Ia juga memberikan peluang kepada pelajar baharu untuk lebih memahami program pengajian yang telah dipilih sekali gus bersuai kenal dengan warga UNISSA termasuk tenaga tadbir, ahli akademik dan kakitangan sokongan UNISSA.