DHAKA, 18 JULAI – Pelajar Bangladesh hari ini berikrar untuk meneruskan protes di seluruh negara sebagai bantahan terhadap peraturan pengambilan kakitangan awam, sekali gus menolak tawaran perdamaian Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang berjanji akan menegakkan keadilan ke atas tujuh individu yang terkorban dalam insiden itu.
Kerajaan sebelum ini mengarahkan sekolah dan universiti ditutup bagi satu tempoh yang tidak ditetapkan, selain menggandakan usaha membendung demonstrasi yang berterusan selama berminggu-minggu bagi menuntut akses sama rata pekerjaan dalam sektor awam.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan, manakala pelajar yang juga sekutu parti pemerintah Liga Awami bertempur di jalanan menggunakan batu-bata dan batang buluh.
Hasina mengutuk insiden pembunuhan membabitkan penunjuk perasaan dalam amanatnya yang disiarkan di stesen televisyen negara itu dan berikrar mereka yang bertanggungjawab akan dihukum tanpa mengira fahaman politik.
Bagaimanapun, ‘Students Against Discrimination’ iaitu kumpulan utama di sebalik perhimpunan terbabit menyifatkan kata-kata pemimpin itu tidak ikhlas dan menggesa penyokong untuk meneruskan protes.
Seorang daripada penyelaras protes, Asif Mahmud, memberitahu AFP ia tidak menggambarkan pembunuhan dan keganasan yang dilakukan aktivis partinya.
Kumpulan itu turut menyeru warga Bangladesh memantau keadaan di seluruh negara hari ini dengan memastikan kedai ditutup dan penduduk terus berada di rumah sebelum protes baru yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Di ibu kota Dhaka, hampir tidak ada kenderaan kelihatan di jalan raya walaupun lazimnya sebelum ini kerap berlaku kesesakan lalu lintas. – AFP


