BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Pelajar-pelajar baru Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengakhiri program minggu orientasi mereka dengan aktiviti-aktiviti berbasikal dan walkaton yang diadakan di ibu negara bagi memeriahkan lagi acara Bandarku Ceria.
Acara yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTB itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, pegawai-pegawai, pensyarah-pensyarah, kakitangan dan pelajar-pelajar UTB.
Acara pagi itu menandakan berakhirnya minggu orientasi para pelajar sebelum sesi akademik bermula minggu depan.
Sementara itu, UTB juga memperkenalkan ‘iReachprogramme’ buat pertama kali sebagai sebahagian daripada aktiviti orientasinya.
Lebih daripada 450 pelajar terlibat dalam program berkenaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang ditugaskan ke tujuh buah pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Pusat Bahagia, Pusat Kebajikan Warga Emas (PKWE), Beach Bunch dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Belia Masjid Mentiri, Al-Huffaz dan Society for Community Outreach & Training (SCOT).



Aktiviti-aktiviti itu termasuk kempen kebersihan, sesi-sesi interaktif, mini-walkaton, penanaman anak-anak pokok dan sebagainya.
Tujuan program ini adalah untuk mengumpulkan pelajar-pelajar baru dan pelajar yang sedia ada di UTB termasuk para pegawai dari universiti berkenaan untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti jangkauan di luar kampus.
Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan menanam kepentingan semangat jangkauan masyarakat dan kesukarelawan dalam kalangan pelajar.
Melalui program itu juga, para pelajar dijangka akan menjadi proaktif, kreatif, inovatif dan menjadi individu bebas yang berupaya untuk membuat keputusan-keputusan betul melalui program seperti ini.
UTB komited dalam melahirkan pelajar-pelajarnya menjadi individu serba boleh yang memiliki tanggungjawab sosial dan ekonomi, boleh dipasarkan dan mempunyai nilai-nilai kukuh Melayu Islam Beraja (MIB). Melalui program-program jangkauan seperti #iReach, UTB terus mencipta dan membentuk pelajar-pelajar untuk menyumbang kepada komuniti dan untuk membangun kualiti-kualiti kepimpinan individu.