Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar berhimpun bantah ‘diskriminasi’ di Bangladesh

    DHAKA, 9 April – Beribu-ribu orang pelajar di seluruh Bangladesh hari ini melancarkan bantahan selepas berlakunya kekacauan di universiti terkemuka negara itu, yang menyebabkan kira-kira 100 orang cedera.

    Pihak polis telah melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata kepada para pelajar Universiti Dhaka yang menentang terhadap apa yang mereka anggap sebagai ‘penindasan’ kuota pekerjaan dalam kerajaan yang memihak kepada kumpulan khas.

    Bantahan itu merupakan salah satu yang terbesar dihadapi oleh Perdana Menteri Sheikh Hasina dalam tempoh sedekad dia memegang tampuk kuasa.

    Sementara itu, seorang menteri dijangka akan mengadakan pertemuan dengan para pemimpin pembantah di Dhaka hari ini.

    Para pelajar daripada universiti-universiti yang dikendalikan kerajaan di Chittagong, Khulna, Rajshahi, Barisal, Rangpur, Sylhet dan Savar telah memboikot kelas-kelas pengajian dan terlibat dalam bantahan itu, ujar polis dan pihak media.

    Para pelajar dari universiti-universiti di Bangladesh berhimpun dan bertelingkah dengan pasukan polis berikutan sistem kuota yang digunakan dalam pengambilan pekerja kerajaan di Dhaka, semalam. – AFP

    “Lebih daripada 1,000 pelajar menyertai demonstrasi di Universiti Jahangirnagar,” kata Atur Rahman, seorang pembantah di Savar, di mana terletaknya universiti itu.

    Pertempuran, yang bermula malam semalam dan berterusan hingga ke awal pagi hari ini, telah menjadikan Universiti Dhaka sebagai medan pertempuran.

    Bantahan serupa turut bakal terjadi tidak lama lagi di beberapa buah bandar utama tatkala beribu-ribu pelajar memboikot kelas-kelas pengajian mereka untuk menyertai bantahan.

    Para penganjur di Dhaka berkata mereka mengadakan perhimpunan secara aman apabila pasukan polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah. Mereka turut menggunakan belantan dan meriam air untuk menyuraikan keadaan di tengah-tengah dataran.

    Apabila keganasan merebak di kampus, beribu-ribu orang pelajar lelaki dan perempuan melancarkan pertempuran dengan polis.

    “Lebih daripada 100 orang cedera,” kata inspektor polis Bacchu Mia kepada AFP, dengan menambah mereka sedang dirawat di hospital dan keadaan mereka tidak serius. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda