Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar berkeperluan khas kurang dapat perhatian

    Kepada sidang pengarang dan para pembaca, untuk perkongsian bersama dan supaya menjadi pengajaran buat kitani semua saja mengenai dengan perkara yang ingin saya sampaikan dalam ruangan ini.

    Saya ani sebagai seorang pelajar di salah sebuah sekolah di negara ini, ingin berkongsi mengenai keadaan rakan sekelas yang mempunyai kelainan upaya atau kitani sebut OKU tetapi kurang mendapat perhatian yang secukupnya.

    Namun, saya berasa beruntung kerana dapat berinteraksi dengannya, namun inda semua rakan sekelas memberikan perhatian dan penghargaan yang sewajarnya.

    Rakan saya ani mempunyai kelainan upaya fizikal yang membuatkan dirinya memerlukan bantuan untuk bergerak.

    Saya selalu terkesan dengan ketabahan dan semangatnya dalam menempuh cabaran hidup, tetapi terasa kecewa melihat bagaimana dia sering kali dilupakan dan kurang diberi perhatian oleh kebanyakan rakan sekelas termasuklah sebilangan guru.

    Gambar Freepik

    Dalam sesi pembelajaran, sering kali guru tidak memberikan sokongan tambahan kepada rakan saya ani, seperti bahan pembelajaran khusus atau bantuan tambahan.

    Dia juga jarang dipilih untuk terlibat dalam aktiviti luar kelas atau pertandingan sekolah.

    Ini mungkin disebabkan kurangnya kesedaran dan pemahaman dalam kalangan guru dan pelajar tentang cara terbaik untuk menyokong individu yang keperluan khas.

    Saya berharap agar masyarakat sekolah dapat lebih peka terhadap keperluan beberapa individu kelainan upaya lain di negara ani.

    Mohon pencerahan dan beberapa cadangan rasional atau nasihat yang mungkin berguna buat diri saya dan para pembaca.

    Najib R.

    Nasihat Dang MP – 

    Perkongsian yang diketengahkan oleh Awang Najib R sangat membuka mata semua. Di sini Dang MP dapat memberi beberapa cadangan yang boleh diambil untuk orang ramai atau pihak sekolah iaitu:

    1. Latih kesedaran dan pemahaman: Program kesedaran dan latihan untuk guru dan pelajar mengenai kepelbagaian keperluan khas perlulah diperbanyakkan.

    Pemahaman yang baik tentang OKU dan cara terbaik untuk berinteraksi dengan insan tersebut dapat membentuk persekitaran yang lebih inklusif.

    2. Penyediaan bahan pembelajaran inklusif: Guru perlu menyediakan bahan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan pelajar berkeperluan khas.

    Ini mungkin melibatkan penggunaan bahan audio, visual, atau modifikasi dalam penggunaan alat pembelajaran untuk memastikan rakan awda dapat terlibat sepenuhnya dalam proses pembelajaran.

    3. Sokongan tambahan dalam pembelajaran: Menyediakan sokongan tambahan seperti guru bimbingan khas atau pengajar sokongan khas yang dapat membantu rakan awda dalam pembelajaran harian.

    Sokongan ini membantu memenuhi keperluan individu dan memastikan kejayaan dalam prestasi akademik.

    4. Libatkan pelajar dalam aktiviti sekolah: Pastikan rakan awda turut dilibatkan dalam pelbagai aktiviti luar kelas, pertandingan atau projek sekolah.

    Ini membantu meningkatkan interaksi sosialnya dan memberikan peluang untuk berkongsi bakat dan kebolehannya.

    5. Pembinaan budaya sekolah inklusif: Guru dan pentadbiran sekolah perlu bekerjasama untuk membina budaya inklusif di sekolah.

    Ini melibatkan amalan-amalan baik dalam menyokong kepelbagaian dan memberikan keutamaan kepada keperluan setiap pelajar.

    6. Bincang dengan keluarga dan penjaga: Melibatkan keluarga dan penjaga rakan awda dalam perbincangan tentang cara terbaik menyokong keperluannya.

    Maklum balas dari pihak keluarga dapat memberikan pandangan yang penting untuk membantu pelajar tersebut mencapai potensinya.

    7. Program pengawasan kesihatan dan sokongan psikososial: Pastikan rakan awda mendapat akses kepada program pengawasan kesihatan secara berkala dan sokongan psikososial untuk membantu mengatasi cabaran kesihatan dan emosi yang mungkin timbul.

    Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, diharapkan masyarakat sekolah dapat menjadi lebih inklusif dan menyediakan peluang yang saksama untuk setiap pelajar, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda