Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar berpeluang sertai Program Climate Explorer

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Seramai 28 pelajar dan tiga guru dari Sekolah Arab Temburong, telah mengadakan lawatan dalam Program Climate Explorer yang baharu dilancarkan oleh Green Brunei, baru-baru ini

    Rombongan Sekolah Arab Temburong merupakan sekolah yang pertama membuat lawatan setelah program berkenaan dilancarkan.

    Semasa lawatan itu, pelajar dan guru sekolah berkenaan berpeluang mengadakan lawatan ke Eco Ponies Garden dan Mori Farm, di mana para peserta terlibat dalam aktiviti farm-to-table secara langsung serta mempelajari kaedah pertanian mesra alam, biodiversiti, dan gaya hidup kampung tradisional.

    Mereka turut memperoleh pengetahuan berharga tentang penanaman makanan menggunakan teknik semula jadi tanpa bahan kimia, serta mendalami kepentingan ekologi tumbuhan tempatan seperti Moringa dan herba-herba lain.

    Lawatan ini mengukuhkan lagi kepentingan pengeluaran makanan secara lestari dan hubungan saling bergantungan antara pertanian dan alam semula jadi.

    Sementara itu, rombongan pelajar dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali merupakan sekolah kedua setelah program ini dilancarkan di mana pelajar sekolah berkenaan telah mengadakan lawatan ke Eco Ponies Garden dan Labulicious Farm.

    Semasa lawatan tersebut, pelajar telah diperkenalkan kepada amalan pertanian lestari sambil merasai keindahan kehidupan kampung tradisional.

    Mereka juga mempelajari bagaimana hasil pertanian segar seperti labu ditanam serta mendapat pendedahan mengenai peranan penting pertanian mesra alam.

    Selain memperdalam pemahaman mengenai pertanian lestari, lawatan ini juga mendorong para pelajar untuk lebih menghargai perjalanan makanan dari ladang ke meja.

    Program ini, yang merupakan sebuah projek lawatan pendidikan peringkat kebangsaan yang menyasarkan kepada 300 orang pelajar dari 10 buah sekolah bagi mengunjungi pelbagai lokasi ekopelancongan dan pendidikan di daerah Tutong semasa cuti persekolahan pada bulan Ogos dan Disember.

    Lapan lagi sekolah dari Daerah Temburong dan Belait dijadualkan menyertai lawatan pada bulan Disember, sekaligus memperluas jangkauan program ini kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara.

    Program ini dirangka bagi menawarkan pengalaman pembelajaran secara imersif melalui lawatan ke institusi pendidikan dan komuniti kampung, sambil mengetengahkan keunikan daerah tersebut.

    Inisiatif ini antara lain bertujuan untuk mengubah pengetahuan dari bilik darjah kepada pemahaman dunia sebenar dengan melibatkan diri secara langsung dalam warisan budaya, sejarah dan alam sekitar Brunei.

    Dalam masa yang sama, program ini turut menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi tempatan dengan melibatkan perniagaan kecil dan perusahaan kampung di Daerah Tutong, sekaligus mewujudkan peluang dalam bidang pertanian lestari, ekopelancongan dan perusahaan berasaskan komuniti.

    Dengan membawa pelajar dan guru ke lokasi-lokasi ini, projek ini menyokong sumber rezeki penduduk tempatan dan meningkatkan kesedaran tentang keunikan yang ditawarkan oleh Daerah Tutong, ke arah membina ketahanan komuniti jangka panjang.

    Projek ini sokongan oleh Jabatan Sekolah-sekolahlah, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang menunjukkan komitmen kuat terhadap pendidikan alam sekitar, pembangunan belia dan penglibatan komuniti.

    Program ini juga ditaja oleh Brunei LNG sebagai lambang komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar dengan memperkenalkan para pelajar kepada perniagaan yang mengamalkan pendekatan tenaga boleh diperbaharui di Tutong.

    Melalui program ini, Green Brunei meneruskan misinya untuk mempromosikan pendidikan alam sekitar dan kelestarian, sambil memperkasakan golongan belia untuk memainkan peranan aktif dalam memelihara warisan alam dan budaya Brunei.

    Sekolah Arab Temburong bergambar ramai semasa di Eco Ponies Garden.
    Sekolah Menengah Sayyidina Ali menyertai dalam aktiviti di Labulicious Farm.
    SM Sayyidina Ali bergambar ramai di Labulicious Farm. – GAMBAR SERAHAN GREEN BRUNEI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda