Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Pelajar-pelajar biasiswa kerajaan perlu ingat bahawa mereka memegang amanah daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menuntut ilmu pengetahuan dan kemahiran di mana kemahiran dan pengalaman itu nanti akan dapat disumbangkan balik kepada negara.
“Perancangan kerajaan mungkin akan terjejas jika sebilangan pelajar gagal memenuhi amanah atau ingkar dengan perjanjian,” tekan Pemangku Ketua Bahagian Biasiswa, Syed Rozman bin Haji Syed Abdul Rahim dalam kata alu-aluannya pada Majlis Menandatangani Borang Perjanjian bagi Pelajar-pelajar Biasiswa Kerajaan ke Luar Negeri Sesi 2019/2020 yang berlangsung di Rimba Garden Central, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan borang perjanjian ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Syed Rozman berkata lagi bahawa para pelajar perlu ingat bahawa dalam usia muda dan masa yang terluang luas, mereka harus memanfaatkannya dengan sepenuhnya untuk melatih dan mencungkil potensi diri supaya lebih responsif dalam mengharungi cabaran hidup yang semakin kompleks terutamanya dalam era ICT dan globalisasi ini.
“Seharusnya kita sudah bersedia untuk mengambil bahagian dalam pentas antarabangsa, bukan sebagai penonton, tetapi sebagai pelaku utama,” tegas beliau.


Pada majlis berkenaan, seramai 42 orang pelajar yang baharu dianugerahkan biasiswa kerajaan berserta dua orang penjamin mereka menandatangani borang perjanjian yang disaksikan olehpara pegawai Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan.
Para pelajar berkenaan akan mengikuti pelbagai kursus di luar negara di universiti-universiti terkenal di United Kingdom, Australia, Kanada dan Malaysia mengikut keperluan daripada kementerian-kementerian.
Dengan menandatangani borang perjanjian itu, para pelajar adalah dengan sendirinya berjanji dan berikrar untuk belajar dengan tekun dan gigih serta mematuhi segala peraturan dan syarat yang terkandung dalam borang berkenaan dan mana-mana peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.
Pelajar berkenaan juga telah mengikuti Program Jati Diri Berkat selama lima hari empat malam pada 17 hingga 21 Ogos lalu di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara di mana mereka dibimbing dengan beberapa ilmu dan nilai-nilai murni yang berguna seperti ilmu kemahiran hidup, keyakinan, ciri-ciri kepimpinan, membuat keputusan, pengukuhan akidah dan jati diri dengan amalan Melayu Islam Beraja.
Pada tahun ini, Kementerian Pendidikan telah menganugerahkan biasiswa kepada seramai 42 orang pelajar manakala itu, seramai 50 orang menerima Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan.