Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Susulan pelbagai spekulasi dan andaian di dalam negara mengenai seorang pelajar Brunei yang masih berada di bandar virus, Wuhan, China, wartawan Media Permata berkesempatan menembual beliau secara online bagi mendapatkan situasi terkini mengenainya.
Warga Brunei itu, Awang Abdul Najib bin Haji Ladi menjelaskan beliau kini sama seperti penduduk Wuhan, menjalani kuarantin susulan penularan koronavirus 2019-nCOV di bandar raya berkenaan.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan Brunei kini sedang berusaha untuk membawa beliau pulang ke tanah air. Beliau yang kini berada di asrama Huazhong University of Science and Technology, Wuhan ketika dihubungi menjelaskan keadaannya ketika ini sihat sahaja.
Demi memastikan kesejahteraan dan keselamatannya semasa berada di sana terjamin, pihak Kedutaan Negara Brunei Darussalam di China turut mengambil berat dan sentiasa berhubung serta mengawasi beliau dari semasa ke semasa.
Awang Abdul Najib turut memberitahu semua pengangkutan awam seperti stesen kereta api dan beberapa tempat awam juga telah ditutup termasuklah masjid dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe.
Beliau turut disarankan untuk sentiasa berada di asrama dan memastikan memakai topeng penutup mulut dan hidung serta menjaga kebersihan diri.
China mengenakan perintah kuarantin terhadap puluhan juta penduduknya di Wuhan dan beberapa buah bandar berdekatan sebagai tindakan susulan terhadap virus tersebut.
Berikutan penularan virus sejak akhir tahun lalu tersebut semua syarikat penerbangan telah membatalkan penerbangan pergi dan balik ke Wuhan sebagai langkah berjaga-jaga.
Awang Abdul Najib merupakan salah seorang penerima biasiswa di bawah Kementerian Perdagangan Republik Rakyat China yang melanjutkan pelajarannya pada peringkat lepasan ijazah sejak tahun 2018 yang lalu dan dijangka menamatkan pengajiannya di sana pada bulan Julai 2020 depan.
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China dan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dalam kerjasama bidang pengajian tinggi yang dimeterai pada 2004, kedua-dua buah negara bersetuju untuk menyediakan biasiswa kerajaan antara satu sama lain berdasarkan pendekatan dua hala sejak tahun 2005.
Kementerian Pendidikan China memulakan Program ‘Biasiswa Khas bagi Pertukaran China-ASEAN’ yang mana di bawah program tersebut kerajaan China memberikan lebih banyak biasiswa kerajaan bagi pelajar Brunei sejak tahun 2016.