Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Para pemenang Techkids Camp 2021 iaitu Awang Alman Hazim bin Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Awang Izz Wali bin A Junaidi telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN Cyberkids Camp 2021 yang diadakan secara maya, kelmarin, anjuran Kementerian Pos dan Telekomunikasi, Kemboja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), di sini, hari ini, dua peserta pengekod muda berkenaan merupakan pelajar Tahun 5 dari Sekolah St Andrew di mana mereka telah diiringi oleh guru pengawas dari Jabatan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohamad Zuno Kartono bin Haji Ali.
ASEAN Cyberkids Camp merupakan acara tahunan yang dihoskan secara bergilir-gilir dan disertai oleh negara-negara anggota ASEAN. Sembilan buah negara anggota ASEAN mengambil bahagian dalam kem pada tahun ini di mana setiap negara diwakili oleh pasukan terdiri daripada orang pelajar yang berusia antara tujuh dan 12 tahun serta seorang tutor.
Semasa pertandingan itu, para peserta diberikan tugasan untuk menghasilkan projek-projek pengaturcaraan multimedia kreatif menggunakan aplikasi dalam talian Scratch.
Kenyataan menyatakan bahawa tema bagi pertandingan pada tahun ini adalah Technologies Save Lives During COVID-19 Pandemic, di mana anugerah emas bagi kem 2021 dimenangi oleh Indonesia dan Singapura.

Sementara itu, wakil Negara Brunei Darussalam telah menerima anugerah gangsa.
ASEAN Cyberkids Camp telah diperkenalkan pada 2008 dengan dimulakan oleh Malaysia dengan tujuan untuk meningkatkan lagi kemahiran pelajar dalam pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan keupayaan untuk menggunakan ICT secara kreatif serta kesedaran dalam isu-isu merentas budaya.
Ia juga telah menjadikan salah satu aktiviti peringkat ASEAN yang bersesuaian dengan bermatlamat untuk mempromosikan kerjasama serantau dan integrasi di kalangan negara-negara anggota ASEAN.
Kem itu adalah salah satu inisiatif di bawah Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN (ADGMIN) yang disokong oleh Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) di mana AITI adalah terlibat secara aktif.
Program itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak untuk menjadi lebih mahir dalam penggunaan perisian yang sedia ada dan belajar bagaimana teknologi boleh membantu dalam perkembangan pembelajaran mereka.
Pada masa yang sama, aktiviti itu meningkatkan lagi perisian kreatif dan penjanaan aplikasi di kalangan pelajar dalam rantau ASEAN.
Pemilihan peserta bagi 2021 dari Negara Brunei Darussalam adalah berdasarkan kepada TechKids Camp yang diadakan pada Mac 2021 di mana ia merupakan pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh AITI dan disokong oleh Kementerian Pendidikan, dengan menyasarkan penyertaan peserta dari sekolah-sekolah rendah pada Tahun 3 hingga 5 serta dikendalikan pada setiap cuti persekolahan pada Mac.
Pemenang tempat pertama TechKids Camp akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN CyberKids Camp.