Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), Mohd Nazul Putera Faeiz Firdaous bin Fakhri Zul Khairi yang berusia 16 tahun, berjaya mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam apabila beliau berjaya meraih pingat perak dalam acara 100 meter (m) Lelaki Bawah 17 tahun dalam kejohanan olahraga peringkat antarabangsa yang berlangsung di Kota Kinabalu (KK), Sabah, baru-baru ini.
Dalam kejohanan berkenaan, Mohd Nazul Putera Faeiz Firdaous yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) telah berjaya untuk mencatatkan masa 11.55 saat dalam kejohanan bersempena RSCAL di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah bermula 28 Ogos hingga 2 September.
Kejayaan Mohd Nazul Putera Faeiz Firdaous bukan sahaja menjadi kebanggaan warga sekolah bahkan ia juga satu pencapaian bermakna yang mengangkat nama negara di persada antarabangsa.
Kejayaan itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada para pelajar dan belia negara untuk terus berusaha gigih, mengembangkan bakat serta menyumbang kepada kecemerlangan sukan dan pembangunan Negara Brunei Darussalam.


