Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar Brunei sertai Pertandingan Ko-Akademik di Sabah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Empat guru dan lapan pelajar dari Sekolah Rendah Kasat, Sekolah Rendah Kampung Menengah, Sekolah Rendah Lumut dan Sekolah Rendah Amar Pahlawan akan menyertai Pertandingan Ko-Akademik sempena Program Kesedaran Alam Sekitar Antarabangsa: Hari E-Waste Sipitang 2025 (eWA25) yang akan diadakan pada 17 hingga 18 Oktober ini di Pekan Sipitang, Sabah, Malaysia.

    Hadir di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri untuk mengucapkan selamat bertolak bagi rombongan berkenaan ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Awang Mohd Danny bin Aimi.

    Turut hadir, pegawai-pegawai dari JSS, Kementerian Pendidikan, serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.

    Program selama dua hari itu merupakan aktiviti ko-akademik anjuran Sekolah Kebangsaan Pekan Sipitang, Sabah, dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Sabah. Sepanjang program berlangsung, para pelajar akan menyertai Pertandingan Upcycle Waste dan Peragaan Fesyen daripada Bahan Terbuang.

    Program tersebut bertujuan untuk menyediakan platform kepada orang ramai, jabatan kerajaan serta syarikat swasta dalam menyertai gerakan aktiviti berteraskan alam sekitar.

    Ia juga berperanan menarik minat generasi muda agar lebih inovatif dan kreatif dalam mendekati isu-isu alam sekitar, di samping memupuk semangat persaingan sihat melalui pelbagai aktiviti berbentuk pertandingan.

    Selain itu, program tersebut berhasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan alam sekitar serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk memelihara bumi melalui amalan guna semula dan kitar semula.

    Awang Mohd Danny bergambar ramai bersama guru-guru dan para pelajar yang akan menyertai pertandingan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JSS
    Awang Mohd Danny semasa mengucapkan selamat bertolak kepada rombongan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JSS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda