BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Persatuan Penuntut Brunei Darussalam di New Zealand telah menyertai Pesta Makanan Antarabangsa anjuran Universiti Otago di Wellington, New Zealand baru-baru ini.
Semasa pesta tersebut pelbagai persatuan antarabangsa mempamerkan dan menjual makanan dan minuman tempatan masing-masing.
Persatuan Penuntut Brunei Darussalam pada kali ini telah memilih untuk menjual Pisang Babujah iaitu cucur pisang bersama coklat, Nasi Katok Pusu dan juga minuman air bandung.
“Alhamdulillah, acara ini dapat berjalan dengan lancar dan meriah walaupun cuaca kurang baik. Lebih-lebih lagi ramai pelanggan kami menyukai dan memberi ulasan yang positif kepada masakan kami.
“Melalui acara ini, kami berhasrat untuk mempamerkan keunikan dan keistimewaan masakan Brunei kepada pelanggan-pelanggan kami dan sekali gus mempromosikan Negara Brunei Darussalam,” kata pelajar Brunei yang terlibat dalam pameran tersebut.

