BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1439H , Persatuan Pelajar Brunei di Brisbane (BSSBNE) Queensland, Australia, baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di salah sebuah kediaman pelajar di Saint Lucia.
Acara yang disertai oleh seramai 21 pelajar yang berjaya menamatkan pembacaan 30 Juzuk Al-Quran itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti oleh Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Khatam yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Sukan dan Keagamaan, Dayangku Nurul Zawanah Pengiran binti Haji Omar.
Acara kemudiannya diikuti dengan Doa Awal Tahun Baru Hijrah dan Doa Selamat dan Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang dibacakan oleh Hajah Nurun Nasuha bin Haji Yunus.

Menurut Presiden BSSBNE, Dayang Zuraihah binti Haji Abdul Rahim dalam ucapannya pada majlis tersebut mengingati para pelajar untuk sama-sama menghargai dan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan bagi melanjutkan pengajian di luar negara.
Beliau juga mengingatkan para pelajar mengenai tanggungjawab sebagai pelajar yang membawa nama Brunei untuk terus berdedikasi dalam kajian akademik dan amalan sebagai umat Islam. Dalam pada itu, para pelajar serta masyarakat Brunei yang berada di negara itu juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di Negara Brunei Darussalam.