Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar cacat pendengaran teroka dunia ikan paus

    SAMANA – Pada setiap musim sejuk, lawatan pemerhatian ikan paus akan diadakan yang membawa para pelancong belayar memerhatikan ikan paus kelasa bermain di Caribbean. Pelayaran baru-baru ini memberikan pengalaman pemerhatian ikan paus kepada para pelancong cacat pendengaran.

    Pelajar-pelajar cacat pendengaran yang turut serta dalam lawatan tersebut menggunakan beg teknologi tinggi yang menukar nyanyian ikan paus kepada getaran. Buat pertama kalinya, mereka didedahkan kepada dunia ikan paus. Pelajar-pelajar terkedu dan kagum setelah ‘merasai’ bunyi buat pertama kali.

    “Semasa saya merasai getaran itu buat pertama kali, saya merasainya dalam hati saya,” kata Nicole Duran, 15, seorang pelajar dari Institut Bantuan Pendengaran St. Rose di Santo Domingo. “Ia mengingatkan saya kepada degupan jantung,” katanya yang ditafsirkan oleh jurubahasa isyarat.

    Nicole merupakan seorang daripada 47 orang pelajar yang mengikuti lawatan dari Santo Domingo, ibu negeri di pantai selatan, ke Samana iaitu wilayah di pantai utara. Perjalanan ke sana memakan masa tiga jam menggunakan bas.

    Mendengar bunyi

    Dalam gred tujuh hingga gred 12, pelajar-pelajar menggunakan tangan mereka untuk menunjukkan bunyi dentuman, deringan dan urutan lembut yang mereka rasai di kulit mereka. Mereka meregangkan tangan mereka tinggi dan rendah untuk menunjukkan nada berbeza-beza yang mereka rasai. Mereka juga membuka dan menutup tangan mereka dengan laju untuk menunjukkan impak kuat.

    Pelayaran baru-baru ini memberikan pengalaman pemerhatian ikan paus kepada para pelancong cacat pendengaran. – AP
    Pelayaran baru-baru ini memberikan pengalaman pemerhatian ikan paus kepada para pelancong cacat pendengaran. – AP

    “Saya dapat merasai denyutannya, ia seperti boom, boom, boom!” kata Melissa Castillos, 18, yang menaiki katamaran sepanjang 48 kaki merentasi Teluk Samana. “Saya pernah melihat gambar-gambar dan video-video ikan paus, tapi ini adalah perkara yang sebenar.”

    Menurut Kementerian Pelancongan, penghijrahan beribu-ribu ikan paus kelasa dari utara Teluk Maine ke pantai Dominican menarik lebih kurang 50,000 orang pelancong ke tempat itu dari bulan Januari hingga bulan Mac setiap tahun. Selama tiga tahun berturut-turut, pelancong-pelancong yang datang tergolong dalam kalangan kanak-kanak dan guru-guru dari beberapa buah sekolah Dominican.

    Pengenalan kepada ikan paus dan muzik mereka kepada pelajar-pelajar cacat pendengaran merupakan visi artis-artis Dominican dan pemuzik Maria Batlle, 34, yang merupakan pengasas Projek Muse Seek. Dia ingin menggunakan muzik sebagai alat bantu mengajar bagi kanak-kanak cacat pendengaran.

    Batlle memberitahu dia mula mengetahui mengenai teknologi Subpac pada tahun 2014 yang dicipta untuk penerbit dan penggemar muzik oleh syarikat Los Angeles. Setahun kemudian, teknologi itu diterapkan dalam program muzik yang dilancarkannya untuk 500 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Cacat Pendengaran di Santo Domingo.

    Penghijrahan tahunan ikan paus ke Republik Dominican menjadikannya suatu peluang pelajaran untuk kanak-kanak yang tertarik kepada kehidupan laut, kata Batlle.

    “Mereka belajar mengenai tingkah laku ikan paus, anatomi dan sekeliling,” katanya. “Mereka belajar mengapa ikan paus datang ke sini, apa yang ikan paus lakukan di sini. Mereka belajar untuk menghargai kepentingan pemerhatian ikan paus dan mengapa pemburuan ikan paus mesti dihentikan.”

    Penumpang-penumpang yang mengikuti pelayaran tahun ini termasuk guru-guru, pelajar-pelajar dan tetamu dari empat institusi akademik. Eric Quilan yang berasal dari Brockton, Massachusetts, guru bahasa Inggeris dan bahasa isyarat di sekolah St. Rose menjadi penafsir untuk penumpang-penumpang cacat pendengaran.

    “Pelajar-pelajar cacat pendengaran tidak akan tahu apa bunyi itu sebenarnya, tapi kini mereka dapat mengalaminya, ia sangat hebat,” kata Quinlan sambil memerhatikan enam ekor ikan paus di dalam laut bergelora.

    Mereka belajar mengenai tingkah laku ikan paus, anatomi dan sekeliling. – AP
    Mereka belajar mengenai tingkah laku ikan paus, anatomi dan sekeliling. – AP
    Pelajar-pelajar cacat pendengaran yang turut serta dalam lawatan tersebut menggunakan beg teknologi tinggi yang menukar nyanyian ikan paus kepada getaran. – AP
    Pelajar-pelajar cacat pendengaran yang turut serta dalam lawatan tersebut menggunakan beg teknologi tinggi yang menukar nyanyian ikan paus kepada getaran. – AP

    Quinlan juga menafsir pada bulan Februari lepas semasa Batlle membawa 40 orang pelajar menonton filem muzikal “La La Land”. Setiap seorang pelajar memegang sebiji belon yang bergetar mengikut muzik dan dialog. Ia merupakan pentafsiran bahasa isyarat pertama di wayang Dominican, kata Batlle.

    Alam sekitar

    Pada tahun 2016, Richard Prum, ahli ornitologi dan profesor cacat pendengaran di Universiti Yale memberi syarahan kepada pelajar-pelajar cacat pendengaran mengenai burung dan melodi dalam pendidikan yang digabungkan dengan muzik, tambah Batlle. Pada tahun yang sama, dia mengadakan disko senyap di depan pantai di mana para pelajar menari mengikut irama yang mereka rasai menerusi teknologi yang mereka gunakan.

    Buat pertama kali juga, Persatuan Popular Savings and Loan, rakan kongsi Muse Seek mempunyai pekerja bilingual (bahasa isyarat Sepanyol) di setiap cawangan, kata Batlle.

    Lawatan ikan paus pada tahun 2015 dan 2016 memberikan melodi jelas dari ikan paus kelasa. Walau bagaimanapun, hidrofon yang diturunkan dari bot pada tahun ini hanya menghantar statik laut bergelora. Batlle yang sudah bersedia dengan pelan B menggunakan rakaman melodi tahun lepas sebagai ganti.

    Para pelajar menunjukkan kegembiraan ketika memerhatikan ikan paus kelasa dan merasai getaran lagu tahun lepas.

    “Ia sangat beremosi, ia sangat cantik,” kata David Montero, 17 melalui bahasa isyarat. “Ini merupakan pertama kali saya berada di Samana, pertama kali saya melihat ikan paus dan tahu mereka menyanyi. Wow, ia sangat hebat!” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda