ROM, 29 MEI – Seorang pelajar mencederakan gurunya dengan pisau pemburu dan mengacukan pistol mainan ke arah rakan sekelas di sebuah sekolah menengah di pinggir bandar Milan, hari ini, kata polis.
Rakan sekelas kemudian menceritakan remaja berusia 16 tahun itu tiba-tiba berdiri sejurus kelas bermula di bandar Abbiategrasso dan menyerang guru itu dari belakang pada lengan dan kepalanya, kata agensi berita Itali ANSA.
Apabila penyerang mengacukan pistol ke arah rakan sekelasnya, para pelajar melarikan diri dari bilik kelas, kata laporan.
Polis memberitahu TV kerajaan, apabila mereka memasuki bilik itu, remaja itu sedang duduk di lantai tanpa orang lain di dalam kelas dan tidak menunjukkan sebarang ancaman. Pisau berdarah dan pistol ditemui pada buku nota di atas meja, menurut gambar yang dikeluarkan oleh polis.
Guru itu, 51, kehilangan banyak darah dan dimasukkan ke hospital, juga mengalami kejutan, menurut laporan berita itu. – AP