Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 30 Jan – Bagi mengetengahkan pencapaian-pencapaian pelajar bagi tahun akademik 2018, Sekolah Menengah Chung Ching (SMCC) telah mengadakan Majlis Anugerah Akademik Cemerlang, baru-baru ini.
Diadakan bersempena Majlis Pembukaan Mata Singa sebagai persediaan bagi Sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang, majlis penyampaian anugerah berkenaan bukan sahaja bermatlamat untuk meraikan usaha pelajar yang mencapai keputusan cemerlang malah, ia juga menggalakkan pelajar-pelajar lain untuk meraih kecemerlangan.
Seramai 13 orang pelajar telah menerima anugerah pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh nazir sekolah berkenaan, Foo Wen Hua dan ahli lembaga pengarah sekolah berkenaan, Mek Cheau Hin.
Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli lembaga pengarah sekolah, pengetua, guru-guru dan kakitangan sekolah serta para pelajar yang ditemani oleh ibu bapa dan penjaga mereka.
