Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN – Pelajar-pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Rimba I diraikan dalam Majlis Tamat Pengajian dan Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 6 yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Rimba I, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu khas dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang yang diraikan ialah Mantan Guru Besar Sekolah Rendah Rimba I, Haji Nudin bin Haji Mohammad.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para graduan Tahun 6, 2019 dan bacaan Surah Al-Alaq oleh Pelajar Tahun 6A, Awang Alif Hakimi bin Rosli.
Pada majlis berkenaan, anugerah-anugerah yang disampaikan ialah Hadiah Galakan daripada guru-guru Tahun 6, Hadiah Progresif, Pencapaian Terbaik A-C, Kehadiran Terbaik, Terbaik Kokurikulum, Terbaik PSR 4A 1B, Cemerlang PSR 5A dan Pelajar Contoh.
Pada tahun ini, lima orang pelajar mendapat keputusan 5A manakala itu, sembilan orang pelajar mendapat keputusan 4A 1B. Di samping itu, anugerah olahragawan diberikan kepada Awang Syafiqkhrul Arsyraf bin Effandy dan olahragawati diberikan kepada Dayang Nur Sabrina binti Iskandar.
Acara kemuncak majlis berkenaan ialah penyampaian Anugerah Pelajar Contoh kepada Dayang Nur Sabrina binti Iskandar.

– Gambar oleh SR Rimba I