Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, hari ini, telah meraikan pelajar-pelajar cemerlang dalam Peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘O’ dan IGSCE, Program Pearson BTEC KOHOT 6 dan Program Pra Vokasional bagi 2017 pada Majlis Graduasi, Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Penghargaan Guru.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan pada majlis yang diadakan di dewan sekolah berkenaan ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh.
Haji Mohd Sharifuddin dalam ucapannya menyeru para pelajar untuk memanfaatkan dan menggunakan kemahiran dan nasihat yang telah dipelajari dan diperoleh semasa bersekolah di sekolah berkenaan untuk terus bersemangat dalam memperoleh kejayaan dalam semua bidang terutamanya dalam bidang akademik.
Menurutnya lagi, pelajar merupakan pewaris negara untuk menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia dan pelajar haruslah bersedia untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan kompeten dalam merea-lisasikan aspirasi negara.
Manakala itu, Pengetua sekolah, Dayang Haryani binti Haji Mohammad, yang juga selaku pengerusi majlis berkata, majlis berkenaan bertujuan untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah berjaya dan memberi penghargaan kepada guru-guru atas jasa mereka bagi mendidik pelajar-pelajar dalam Peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE tahun 2017.


Di samping itu, ia turut meraikan kejayaan pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka dalam Program Pearson BTEC bagi KOHOT 6 dan Program Pra vokasional dengan jayanya.
Dalam majlis itu, jelasnya lagi, tujuan anugerah dan penghargaan disampaikan iaitu kepada 115 orang pelajar cemerlang yang memperoleh lima hingga lapan kredit dalam Peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE tahun 2017; seorang pelajar cemerlang keseluruhan dalam peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE tahun 2017; 19 orang pelajar yang memperoleh A* dalam 27 mata pelajaran bagi peperiksaan BC GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE tahun 2017; 10 orang pelajar menamatkan Program Pearson BTEC KOHOT 6 jurusan Teknologi Maklumat; tujuh orang menamatkan Program Pearson BTEC KOHOT 6 dalam jurusan Seni dan Reka Bentuk; dua orang pelajar cemerlang dalam Program Pearson BTEC KOHOT 6 dan dua orang pelajar menamatkan Program Pra Vokasional bagi tahun 2017.
“Alhamdulillah, tahun 2017 telah melihat kejayaan berulang di mana seramai 115 orang pelajar daripada 264 orang pelajar berjaya memperoleh lima hingga lapan kredit dalam peperiksaan berkenaan iaitu 43.65 peratus berbanding 36.74 peratus pada tahun sebelumnya,” tambahnya.
Menurutnya lagi, pencapaian pelajar-pelajar berkenaan adalah hasil gandingan usaha yang berterusan pelajar-pelajar itu sendiri dan guru-guru yang gigih mencurahkan ilmu pengetahuan, bimbingan dan dorongan kepada mereka.