Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang merupakan satu manifestasi kepada pengiktirafan Kementerian Pendidikan kepada para pelajar.
Namun, perlulah difahami apakah erti kecemerlangan tersebut, mungkin bagi seorang pelajar kecemerlangan adalah memperoleh keputusan yang terbaik di dalam peperiksaan akan tetapi kecemerlangan dalam erti kata yang sepenuhnya adalah merangkumi aspek yang lebih luas.
Ia melibatkan satu bentuk proses perubahan yang berterusan dan transformasi ke arah yang lebih baik, dan proses ini tidak pernah berakhir. Ia mencerminkan suatu harapan, keinginan, impian atau satu hala tuju yang muktamad bagi diri seseorang pelajar, namun ia tidak akan pernah berakhir.
Perkara berkenaan telah diungkapkan oleh Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan 2022 yang berlangsung di Dewan Musyawarrah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.
“Kecemerlangan adalah hasil dan terjemahan daripada sikap yang ingin sentiasa untuk melakukan yang terbaik di segenap masa, ruang, tempat dan peringkat.
“Dari itu, para pelajar hendaklah menjadikan kecemerlangan itu sebagai suatu kebiasaan, bukannya hanya sekadar suatu tindakan,” ujarnya yang juga selaku pengerusi bersama majlis.
Beliau turut mengongsikan bahawa Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha secara berterusan memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah membina kecemerlangan bagi pelajar bukan hanya memfokuskan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga kecemerlangan insani supaya para pelajar menerima pendidikan yang seimbang.
Dalam hubungan ini, Dayang Marina Chek juga menekankan bahawa pihak kementerian melalui Jabatan Sekolah-sekolah dan juga jabatan-jabatan yang lain sentiasa memberi keutamaan kepada perbezaan yang sistemik dalam melaksanakan inisiatif dan program bagi menangani isu-isu pendidikan pasca pandemik.
Antaranya ialah merapatkan jurang atau kerugian pembelajaran (learning deficit atau learning loss) yang dialami oleh pelajar melalui penganalisaan data daripada Student Learning Survey bagi tujuan merancang pelaksanaan Learning Recovery; dan penggunaan data literasi dan numerasi bagi mengendalikan Learning Support Programme kepada murid-murid sasaran.
Selain itu, beberapa inisiatif dan program yang dilaksanakan ialah mewujudkan Sistem Pengurusan Kehadiran Pelajar atau School Attendance Management System (SAMS) bagi memantau dan mengenal pasti alasan daripada kejadian ketidakhadiran bersekolah.
“Ini adalah bagi membolehkan jabatan-jabatan bekerjasama ke arah menangani masalah seumpama ini yang mana adalah merupakan sebahagian daripada rangkaian permasalahan yang memerlukan kerjasama berbagai-bagai pihak bagi mencari solusi yang terbaik bagi mengatasinya, iaitu dalam rangka untuk menjaga kemaslahatan bersama bagi mengurangi jumlah pelajar keciciran pembelajaran,” jelasnya.
Di samping itu, pihak kementerian turut mengaktifkan Talian Aafiah dan Talian Kalinga bagi sebarang pertanyaan, khidmat nasihat, konsultasi dalam menangani situasi seperti masalah pembelajaran, masalah peribadi, masalah keluarga dan permasalahan yang berkaitan dengan kesejahteraan dan kebajikan pelajar.
Dalam pada itu, Dayang Marina Chek turut merakamkan kesyukuran mewakili Jabatan Sekolah-sekolah kerana sekian lama menjadi peneraju kepada program Anugerah Pelajar Cemerlang ini, di mana negara telah berulang kali menyaksikan para pelajar tampil dan membuktikan kewibawaan mereka dalam bidang-bidang kecemerlangan masing-masing.
“Anak-anak ini, bersama-sama pelajar-pelajar lain yang tidak berkesempatan menerima anugerah ini adalah merupakan aset negara dan sumber insan yang bakal membawa negara tercinta ini ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.
“Ini termasuklah bidang-bidang keutamaan pada masa hadapan seperti bidang digital, informasi teknologi, komunikasi digital, kewangan dan seumpamanya,” ujar beliau di akhir ucapan tersebut.