Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan BCGCE Peringkat A dan AS bagi 2023 telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang Akademik BCGCE Peringkat A dan AS untuk 2023 yang berlangsung di PTET, baru-baru ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar yang diraikan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)-PTET, Haji Roslan bin Datu HLB Haji Abdul Wahab; Pengetua PTET, Awang Muhd Shahnofazli bin Haji Sabli; dan Timbalan Pengetua Akademik PTET, Koo Keung Eng serta ibu bapa para pelajar yang diraikan dalam majlis berkenaan.
Majlis berkenaan menyaksikan PTET meraikan pelajar-pelajar sesi 2023 yang telah memperolehi keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan BCGCE peringkat A dan AS bagi 2023.
Lapan orang pelajar PTET telah mendapat anugerah cemerlang gred A/A* dalam tiga subjek dan ke atas iaitu Chua Mige, Alvin Theo Kui Thian, Awang Muhammad Faisal bin Julaihi, Awang Muhammad Razien Amsyar bin Almasri, Liew Jia Jun, Dayang Aisyah Adibah binti Muhammad Daud, Vivian Yap Mei Yan dan Awang Muhammad Asfa Radhi bin Mohammad Yusran.
Selain daripada itu, PTET juga memberikan anugerah kepada pelajar-pelajar yang mendapat mata tarif 300 dan ke atas serta pelajar-pelajar yang mendapat kecemerlangan dalam subjek Peperiksaan BCGCE Peringkat O, A dan AS.
Sebahagian pelajar turut menerima hadiah motivasi bagi program Privileged Guided Learning (PrivGL) 2023 atas peningkatan keputusan akademik yang terbaik, hadiah motivasi mentor dan menti terbaik, dan mentor yang mencapai sekurang-kurangnya empat jam mentoring bagi program Peer Mentoring (PMP) 2023, serta hadiah motivasi sumbangan tutor-tutor PTET bagi pelajar-pelajar yang ada peningkatan dalam keputusan akademik mereka.
Pada majlis itu juga, PTET telah memberi penganugerahan bagi tutor-tutor yang mencapai sasaran nasional bagi Peperiksaan BCGCE Peringkat A, AS Oktober/November 2023 gred A* hingga C dan gred A* hingga E, serta anugerah bagi jabatan yang mencapai sasaran nasional gred A* hingga E.
Di samping itu, PTET juga menyerahkan anugerah Hadion’s Mathematics Award dan Bryan Hasyum Science Excellence Award (BHSEA) kepada Chua Mige.
Manakala, anugerah khas PIBG Pelajar Uswatun Hasanah diterima oleh Chua Mige dan Ong Wei Eng.
Para jemputan juga sempat menonton tayangan klip video yang berjudul Aku dan Takdirku yang memberikan mesej pengajaran yang penting buat penuntut-penuntut di mana video berkenaan merupakan projek yang diusahakan di bawah Jabatan Bahasa Melayu PTET dan dicipta oleh penuntut-penuntut PTET.