Oleh Sim Y. H. –
TUTONG, 25 NOV – Pencapaian cemerlang para pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) dalam peperiksaan akhir tahun telah diraikan pada Majlis Anugerah Akademik Peperiksaan Akhir Tahun L6 yang berlangsung di Dewan Serbaguna PTET, baru-baru ini.
Majlis anugerah itu, mengiktiraf para pelajar yang telah mencapai gred A/A* dalam tiga mata pelajaran dan ke atas serta pelajar cemerlang yang mencapai 300 mata tarif ke atas.
Pada acara tersebut, Dayang Nur Syafirah binti Muhammad Mukhlis telah memenangi anugerah untuk kedua-dua kategori berkenaan di mana beliau telah memperoleh
360 mata tarif, iaitu mata tarif tertinggi yang diperoleh dalam peperiksaan.
Beliau juga mendapat gred A dalam mata pelajaran Matematik, Fizik dan Biologi.
Sementara itu, Awang Mirza Hafizin bin Michael, Kenny Hwong Peng Xiong dan Dayang Nur Fafhiha Azura binti Bujang telah memperoleh 340 mata tarif.
Manakala, Dayang Nur Amiira Azzyati binti Rosman, Awang Muhammad Rawiy Asyhar bin Almasri, Dayang Batrisyia binti Suhaini, Awang Muhammad Asnawi bin Sari dan Dayang Nur Siti ‘Aisyah binti Haji Omar Dani telah memperoleh 320 mata tarif.
Pelajar-pelajar yang mendapat 300 mata tarif ialah Dayang Siti Nurrabiatul Adalia@Nurrabiatul Hana Nabila binti Rusmikan, Awang Muhammad Arif Safwan bin Muhammad Nurruzaini dan Awang Muhammad Syazwan bin Azlan.
Majlis juga menampilkan penyampaian anugerah-anugerah untuk Kecemerlangan Mata Pelajaran, Peningkatan Terbaik dalam Program PrivGL 2024, Anugerah Motivasi daripada Tutor Mata Pelajaran, anugerah untuk tutor-tutor yang mencapai 85 peratus dan ke atas di mana pelajar-pelajar mereka mencapai gred A-E dalam peperiksaan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada para pelajar yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti di luar sekolah seperti wakil PTET dalam Persidangan Isu-isu Borneo Global ke-20 (BGIC) yang dijalankan oleh ISB, peserta dalam pameran GREENLIFE semasa Sambutan Hari Guru ke-34, peserta dalam ‘Pelajar dalam STEAM’ oleh pusat STEP, dan pemenang video terbaik untuk program Minggu BEST oleh Kementerian Pendidikan.
Selain itu, tiga buah video telah dipertontonkan semasa majlis berkenaan iaitu Murder in the Library, Dunia Maya, Hati Nyata dan Cahaya Keinsafan, yang kesemuanya menunjukkan kreativiti dan kemahiran berfikir pelajar-pelajar.