Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Jan – Lebih 40 orang pelajar Tahun 6 Sekolah Panaga telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-3 dan Penyampaian Hadiah Galakan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang diadakan di dewan serba guna sekolah tersebut, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Daerah Belait, Supt Mohammad Azrie bin Haji Talip.
Guru Besar sekolah tersebut, Dayang Rabizah binti Haji Ibrahim, dalam ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha majlis, Dayang Siti Hafizah binti Haji Bidin menyatakan bahawa majlis tersebut diadakan bagi memberi penghargaan dan insentif kepada pelajar-pelajar Tahun 6 sesi 2017 yang telah berjaya mendapatkan keputusan daripada 1 hingga 5A.
Menurutnya, sekolah tersebut telah mencatatkan 72 peratus murid lulus dengan Gred A hingga D daripada seramai 50 orang calon yang menduduki peperiksaan berkenaan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 75 peratus, menunjukkan penurunan 3 peratus. Katanya lagi, hanya 28 orang pelajar sahaja yang mendapat Gred A hingga C.
“Peratus lulus Gred A hingga C yang diperolehi adalah 56 peratus iaitu meningkat sebanyak 4.4 peratus daripada tahun sebelumnya, walaupun sekolah ini tidak dapat mencapai sasaran negara (90 peratus) yang telah ditetapkan bagi Peperiksaan PSR tahun ini. Sementara itu bagi murid yang mendapat 5A adalah seramai tiga orang dan murid yang mendapat 4A seramai dua orang,” katanya.

Majlis telah menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah-hadiah kepada para pelajar telah menduduki dan lulus dalam Peperiksaan PSR, seterusnya penyampaian sijil kepada murid yang mendapat 4A dan 5A dalam peperiksaan tersebut, yang disempurnakan oleh Dayang Rabizah.
Manakala itu, penyampaian hadiah kategori khas Tahun 6 bagi pelajar-pelajar Unit Pendidikan Khas, kedatangan terbaik Tahun 6 dan murid cemerlang Tahun 6 semua subjek serta penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada guru-guru dan tenaga pengajar Kelas Tambahan Tahun 6, 2017 telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diserikan lagi dengan beberapa persembahan antaranya persembahan ketangkasan bermain bola sepak dan persembahan tarian moden oleh pelajar sekolah tersebut kemudian diakhiri dengan sesi bergambar ramai kesemua pelajar yang menduduki Peperiksaan PSR 2017 bersama tetamu kehormat dan tenaga pengajar mereka.