Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Seramai 48 pelajar telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Graduan Sekolah Menengah Katok (SMK) BEST 2024 yang berlangsung di Dewan Serbaguna SMK, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para pelajar ialah Guru Besar Sekolah Ugama Katok, Dayang Norshuhada binti Haji Moksin, yang dialu-alukan oleh Pengetua SMK, Dayang Penroose Saleha binti Haji Mohd Salleh.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Penroose berkata satu perkara yang harus diambil perhatian ialah perkembangan kemahiran abad ke-21 yang terdapat perubahan besar dalam kemahiran yang perlu dikuasai oleh para pelajar.
Selain itu, beliau juga berkongsi SMK telah mengambil banyak inisiatif untuk memastikan para pelajar bersedia menghadapi cabaran masa depan sebagai pelajar yang siap siaga dan inovatif.
Seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan melalui inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM), pihak sekolah juga membuka beberapa subjek baharu untuk menjamin peluang pendidikan yang adil dan saksama untuk semua pelajar, tidak kira program mereka.



“Antara mata pelajaran termasuk keusahawanan, sains marin, pengurusan alam sekitar, serta pertanian.Dengan pengenalan mata pelajaran itu, kita berharap pelajar dapat mengasah kemahiran berfikir kritis, kreativiti, serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan global yang pesat.
Majlis penganugerahan berkenaan telah dibahagikan kepada lima kategori khas iaitu Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat O 2024 yang diberikan kepada 24 pelajar; dan Anugerah Cemerlang dalam Mata Pelajaran bagi Peperiksaan BCGCE Peringkat O 2024 kepada tiga pelajar.
Secara keseluruhannya, seramai 46 pelajar diraikan SMK BEST termasuklah penerima bagi Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan Tahun 11 Special Applied Programme 2024 dan Anugerah Special Mention Program Pra-Vokasional 2024.
Seorang pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan bagi Peperiksaan BCGCE Peringkat O 2024; dan tujuh pelajar lagi menerima Anugerah Pelajar Beriltizam bagi Peperiksaan BCGCE Peringkat O 2024.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian anugerah kepada guru-guru yang mencapai sasaran dalam mata pelajaran Peperiksaan BCGCE Peringkat O 2024 dan juga para guru yang menunjukkan peningkatan dalam mata pelajaran Peperiksaan SPE 2024.

