Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 29 NOV – Lebih 80 pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) dari Tahun 7 hingga 10 yang memperoleh keputusan cemerlang akademik diraikan pada Majlis Anugerah Pelajar Terbaik SMSA yang berlangsung di dewan serba guna sekolah itu baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Pengetua Akademik sekolah, Awang Fadhlul Ha’adi bin Haji Dollah. Turut hadir Timbalan Pengetua Pentadbiran, Hajah Mazizan binti Haji Mohammad, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Pengiran Abdul Wafi bin Pengiran Haji Mohd Alias serta warga sekolah.
Dalam ucapan alu-aluan, Awang Fadhlul Ha’adi mengucapkan tahniah kepada 80 penerima pelbagai anugerah daripada tiga terbaik dalam setiap kelas, kepada terbaik dalam mata pelajaran dan CCA (aktiviti kokurikulum).
“Selain itu, lapan pelajar juga akan menerima anugerah khas 4M iaitu program menggalakkan membaca, mengeja, menulis dan mengira dalam kalangan pelajar. Program ini diadakan setiap Jumaat dengan sokongan PIBG,” katanya.
Sementara majlis itu merupakan peristiwa penting yang tidak dapat dilupakan oleh pelajar, beliau menggalakkan pelajar untuk terus mengasah kemahiran mereka.
Majlis diteruskan dengan beberapa persembahan dipimpin oleh Kelab Seni Kreatif sekolah, Kelab Seni Tradisional dan Kelab Karate.
Acara berakhir dengan penyampaian anugerah kepada para pelajar oleh Timbalan Pengetua Akademik.



