Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar cemerlang SR Haji Mohd Jaafar Maun dirai

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Pelajar-pelajar cemerlang Sekolah Rendah (SR) Haji Mohd Jaafar Maun, Kiulap, Kluster 2 diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-10 Murid-murid PSR, Konvokesyen ke-7 Murid-murid Pra dan Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang dan Terbaik bagi 2017 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

    Hadir di majlis berkenaan selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah-hadiah kepada murid-murid yang diraikan ialah Pegawai Pelajaran, Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Hajah Halina binti Haji Awang Minudin.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah ibu bapa murid-murid yang diraikan serta guru-guru sekolah berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Doa Selamat dan diikuti oleh ucapan aluan-aluan oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Hajah Noraini binti Haji Timbang.

    Beliau dalam ucapannya menyatakan harapan supaya majlis itu akan dapat membangkitkan semangat para pelajar serta sebagai motivasi bagi menggalakkan semua pelajar untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan.

    Hajah Halina menyampaikan sijil kepada pelajar-pelajar Tahun 6 SR Haji Mohd Jaafar Maun yang diraikan di majlis berkenaan.

    Beliau juga menyatakan perasaan gembira terhadap keputusan Peperiksaan PSR 2017 yang mana sekolah berkenaan memperolehi peratusan kelulusan sebanyak 86.67 peratus dan seorang murid berjaya memperolehi keputusan 5 ‘A’.

    Sementara itu, Hajah Halina dalam ucapannya menyatakan harapan supaya pihak sekolah akan terus melaksanakan program serta inisiatif untuk membantu para pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik mereka dan pada masa yang sama juga memberikan mereka pendidikan holistik.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak ibu bapa dan guru-guru di atas sikap pemedulian dan usaha berterusan mereka untuk memastikan pendidikan murid-murid sekolah berkenaan terus diberikan keutamaan.

    Majlis kemudian diteruskan dengan majlis konvokesyen pelajar Tahun 6 2017, konvokesyen murid-murid Pra 2017 serta penyampaian hadiah pelajar terbaik 2017 dan penyampaian anugerah khas serta pelajar cemerlang 2017.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada murid-murid rendah atas sekolah berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda