Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Dalam usaha berterusan untuk membantu, menggalakkan serta memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan menyampaikan Anugerah Bantuan Pendidikan kepada pelajar serta guru-guru cemerlang dari tiga buah sekolah swasta pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan dan Pelajar Cemerlang Rotary 2018 yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa, hari ini.
Penyampaian anugerah cemerlang itu adalah untuk memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah yang kurang berkemampuan dari tiga buah sekolah swasta iaitu Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan (CHMS BSB), Sekolah St Andrew dan Sekolah St George.
Ia adalah untuk mengenal pasti, menganugerahkan dan memotivasikan pelajar-pelajar cemerlang supaya akan mencapai tahap kecemerlangan pendidikan yang lebih tinggi serta untuk memberikan penghargaan kepada guru-guru cemerlang yang dicalonkan oleh sekolah masing-masing.
Anugerah-anugerah pada majlis itu telah disampaikan oleh Presiden Kelab Rotary Bandar Seri Begawan, Henry Ting.
Beliau dalam kata alu-alu mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan guru-guru yang menerima anugerah serta berharap dengan anugerah itu, ia akan dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, beliau berharap para pelajar cemerlang akan terus berusaha untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya dan cemerlang pada masa akan datang serta melakukan perkara sama dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik nanti.
Beliau menambah bahawa Kelab Rotary BSB amat gembira kerana berpeluang untuk membuat sesuatu yang mampu untuk merubah dan membantu masyarakat.
Di majlis berkenaan, anugerah guru terbaik bagi CHMS BSB diberikan kepada Matthew Wong Ing Huong; guru Sekolah St Andrew diberikan kepada Low Fot Tet dan guru sekolah terbaik Sekolah St George diberikan kepada Eugenio Vicuna Mendoza.
Manakala itu, bagi anugerah pelajar terbaik, dari CHMS BSB ialah Vanessa Voon Kai Fong, bagi Sekolah St Andrew ialah Calista Shauna Shim Chee Yean dan bagi Sekolah St George ialah Su Yee Shien.
Di majlis itu juga, seramai 12 orang pelajar cemerlang dari keluarga yang kurang berkemampuan telah menerima bantuan yang dipilih berdasarkan kepada pencalonan daripada sekolah masing-masing serta menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang dan konsisten.