MADRID, 29 JUN – Hampir 5,000 orang dikenakan kuarantin selepas pelajar sekolah tinggi bercuti di pulau Mediterranean Mallorca mencetuskan wabak COVID-19, kata seorang pegawai kanan semalam.
Pihak berkuasa telah mengesahkan hampir 1,200 kes positif daripada wabak itu, kata penyelaras respons kesihatan kecemasan Sepanyol, Fernando Simon. Remaja yang berpesta untuk meraikan berakhirnya peperiksaan kemasukan universiti pada minggu lalu mewujudkan ‘ruang pembiakan terbaik’ untuk virus ketika mereka bergaul dengan orang lain dari seluruh Sepanyol dan luar negara,” beritahu Simon pada sidang media.
Pihak berkuasa kesihatan Mallorca menjalankan ujian besar-besaran ke atas ratusan pelajar selepas wabak menjadi ketara. Ia dipercayai telah merebak ketika ratusan pelajar berparti berkumpul di sebuah konsert dan parti jalanan.
Pegawai setakat ini berjaya mengesan 5,126 pelawat ke Mallorca. Lebih daripada 900 kes COVID-19 di lapan rantau di seluruh Sepanyol telah dikesan kepada wabak berkenaan.
Puluhan remaja yang dijangkiti masih berada di pulau itu. Sesetengahnya dikurung dalam bilik hotel, sementara yang lainnya telah dipindah ke hotel lain yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk pengasingan untuk mereka yang mempunyai simptom ringan atau kes disyaki.
Simon berkata ibu bapa remaja mungkin berusia dalam lingkungan 45 dan 55 tahun, dan bukan kesemua kumpulan umur berkenaan telah menerima dua dos vaksin COVID-19, yang mungkin membawa kepada jangkitan komuniti. – AP
