Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar China kembali ke sekolah

    BEIJING, 27 APRIL – Pelajar di Shanghai dan Beijing mula kembali bersekolah hari ini, selepas lebih tiga bulan sekolah ditutup, berikutan perintah berkurung bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

    Khemah-khemah diletakkan di depan pintu masuk sekolah yang diawasi kakitangan kesihatan lengkap berpakaian hazmat putih, manakala seorang lelaki yang mengusung kontena disinfektan menyembur sekitar kawasan pagar sekolah.

    China menutup sekolah-sekolah di seluruh negara semenjak Januari dan kebanyakan pembelajaran diadakan dalam talian sahaja, membuka sekolah secara beransur-ansur bulan lalu, ketika pusat virus, Wuhan akan mula membuka sekolah pada 6 Mei depan.

    Puluhan ribu murid di dua bandar raya utama di China, Shanghai dan Beijing melahirkan kegembiraan dapat kembali bersekolah selepas berbulan-bulan ditutup. “Saya gembira kerana sudah terlalu lama tidak berjumpa rakan sekelas. Saya begitu rindukan mereka.

    “Di rumah, sukar untuk berada di hadapan komputer sepanjang hari dan ia tidak terlalu baik untuk proses pembelajaran,” katanya Hang Huan, gadis berusia 18 tahun dekat Shanghai di sini.

    Hanya pelajar tahun akhir sekolah menengah dan sekolah tinggi di Shanghai dibenarkan kembali ke sekolah hari ini, sementara di Beijing hanya pelajar tahun akhir di universiti dibenarkan kembali ke kampus atau pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

    Setiap pelajar perlu menjalani pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan menunjukkan kod kesihatan ‘hijau’ di aplikasi yang mengesan risiko jangkitan virus dan memakai penutup mulut dan hidung, kata Kementerian Pendidikan China.

    Di sebahagian kafetaria pula, pelajar duduk di tempat yang ditandakan, dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter, manakala di Shanghai, beberapa buah sekolah mengasingkan bilik khas bagi pelajar yang mempunyai suhu tubuh tidak normal.

    COVID-19, virus yang mula dikesan di China pada akhir tahun lalu berjaya dipulihkan di negara itu, namun kerajaan akan meningkatkan langkah pencegahan dan kawalan, berikutan kebimbangan berlaku kes jangkitan import. – AFP

    Pelajar memakai penutup mulut dan hidung tiba di Sekolah Menengah Huayu di Shanghai, 27 April. Pelajar kembali ke sekolah di China buat kali pertama semenjak ia ditutup dalam Januari sebagai sebahagian daripada usaha membendung penularan koronavirus COVID-19. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda