GUANGZHOU – Sambil mengenakan hijab dan abaya labuh, pelajar-pelajar dari China di sebuah sekolah e-dagang memperagakan pakaian tersebut di hadapan kamera telefon pintar semasa mereka mempelajari cara menjual pakaian tersebut kepada pengguna TikTok di luar negara.
Ia adalah hari terakhir kursus dua minggu mengenai penjualan produk ke luar negara melalui aplikasi video pendek, yang walaupun disekat di China, menjadi platform yang paling banyak digunakan oleh para penjual Cina untuk perniagaan mereka.
Untuk berjaya di TikTok memerlukan alat untuk memintas sekatan internet serta kemahiran bahasa asing, cabaran yang telah mendorong ledakan dalam kursus dan perkhidmatan perundingan.
Di sebuah sekolah di Guangzhou di wilayah selatan Guangdong, seorang tenaga pengajar menayangkan pakaian berinspirasikan Timur Tengah ke kamera dan mengeluarkan maklumat harga dan saiz untuk para pembeli Muslim di United Kingdom (UK).
“Ini sifon, ia benar-benar selesa!” katanya dalam bahasa Inggeris ketika anak didiknya memodelkan barangan itu dan menyusun rak jubah satin di bawah lampu studio yang terang.






“Kami mengajar orang ramai produk mana yang lebih laris, dan pasaran mana yang lebih sesuai untuk peringkat semasa mereka,” Wang Yaxuan, 27 tahun, seorang lagi pengajar di sekolah itu, memberitahu AFP.
Guangdong adalah rumah kepada ribuan kilang yang membuat pelbagai produk yang menakjubkan, daripada abaya kepada bahagian mesin espresso kepada rambut palsu yang diperbuat daripada rambut manusia.
Selepas beberapa tahun mengeluarkan barangan untuk eksport, syarikat China semakin berusaha untuk tidak menggunakan khidmat orang tengah dan memasarkannya sendiri pada harga yang lebih rendah, terus kepada pengguna luar negara.
Shein, gergasi fesyen pantas yang diasaskan China, telah mengambil alih pasaran Barat kelas bawah dengan berkesan menggunakan strategi itu, dengan TikTok merupakan aspek utama rangkaian jualannya.
Kedai TikTok dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) akhir tahun lalu, dan ciri e-dagang sebelum ini telah dilancarkan di tempat seperti Britain dan Asia Tenggara.
Tatal kasual pada tab ‘Live’ aplikasi yang sangat popular itu boleh membawa pengguna pada berbilang penstriman membeli-belah dalam beberapa minit.
Tetapi dengan TikTok tidak tersedia di China, syarikat induk Bytedance mengendalikan aplikasi versi domestiknya, Douyin yang ditapis lebih ketat di dalam negara itu, perniagaan yang lebih kecil di aplikasi tersebut berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan.
Kursus seperti yang terdapat di sekolah e-dagang Mede Education Technology membantu membiayai segala-galanya daripada asas membuat akaun TikTok kepada mengendalikan penghantaran dan menganalisis data jualan.
Yuran bermula sekitar AS$1,244 untuk kursus selama enam hari.
Pelajar, yang terdiri daripada pemilik kilang dan graduan baharu, sering mengikuti kelas untuk pelbagai platform membeli-belah asing termasuk Amazon dan Shopee Asia Tenggara.
JURANG MAKLUMAT
Qiu Zhouwen, seorang peserta kursus berusia 30an, bekerja dengan sebuah syarikat kosmetik Guangzhou, berkata syarikatnya mendaftarkannya kerana mereka berharap untuk akhirnya menjual rangkaian penjagaan kulit mereka melalui TikTok.
“Maklumat adalah sebahagian daripada kos (menjalankan perniagaan) sekarang, dan jika awda tidak mempunyai maklumat yang sesuai dengan pasaran, kos awda akan menjadi lebih tinggi,” kata Qiu.
Wang, pengajar Mede, menghadiri universiti di AS dan berkata ia boleh mencabar bagi penjual Cina untuk menyesuaikan diri dengan cita rasa pengguna yang berbeza di luar negara.
Pengeluar bahan kimia, Donghua Jinlong menghasilkan meme tular di TikTok bulan ini selepas pengguna media sosial luar negara menemui jenaka yang tidak masuk akal dalam video fakta syarikat tentang glisin gred industri yang menampilkan alih suara yang dijana kecerdasan buatan (AI).
Terdapat juga halangan teknikal yang ketara.
Mengakses TikTok dari China memerlukan perisian VPN untuk memintas Great Firewall maya negara itu, sambil mengelak sekatan aplikasi itu sendiri terhadap pengguna yang memanipulasi alamat IP mereka.
VPN mempunyai undang-undang yang belum jelas di China, dengan pihak berkuasa kadang-kadang bertindak tegas sambil secara amnya bertolak ansur dengan penggunaannya untuk tujuan perniagaan.
TikTok juga terperangkap dalam ketegangan geopolitik global, di mana kongres AS mengancam untuk mengharamkan aplikasi itu sepenuhnya disebabkan kebimbangan ia boleh berkongsi data peribadi dengan kerajaan China.
Wang tidak terpengaruh dengan prospek larangan TikTok AS.
“Pelajar kami bukan sahaja menjual ke pasaran AS… trend semasa TikTok untuk Asia Tenggara juga sangat bagus,” katanya kepada AFP.
Wang berkata ia bukan kali pertama situasi itu berlaku, sambil menambah bahawa dia merasakan AS cuba ‘mengambil alih pasaran dan membahagikannya kepada pasaran kecil.’
UNGKAPAN PENARIK
Mede ialah salah satu daripada banyak organisasi yang menjalankan kelas TikTok, termasuk yang lain yang berpangkalan di Guangdong, di mana pihak berkuasa telah meletakkan sepanduk propaganda mempromosikan e-dagang antarabangsa.
Mereka yang tidak sanggup membayar yuran kursus yang tinggi juga boleh mendapatkan nasihat daripada veteran e-dagang yang telah membina pengikut pada aplikasi sosial Cina dengan berkongsi tips TikTok.
Molly Zhao, seorang penggiat penstiman langsung TikTok berusia 23 tahun, telah menjual produk termasuk pakaian dan elektronik dalam talian sejak 2022.
Zhao, yang belajar di Itali dan bertutur dalam bahasa Itali dan Inggeris, memberitahu AFP dengan kemahiran bahasa asingnya dia telah mendapat pekerjaan penstriman langsung yang membayar sebanyak AS$2,760 setiap bulan.
Dia kerap menyiarkan video untuk penonton domestik di Douyin, meliputi topik termasuk ungkapan penarik bahasa Inggeris biasa dan cara menerangkan kadar penghantaran dengan jelas.
“Awda mesti membina suasana,” jelasnya dalam satu video, sambil menambah bahawa menggunakan kata kunci boleh ‘memberi kesan yang lebih mendalam kepada pelanggan.’
Dalam video lain, Zhao yang tersenyum dan menari berkongsi rutin pemanasan badan sebelum sesi penstriman menjual batu permata dan kristal kepada penonton AS.
“Masa untuk mendapatkan wang rakyat Amerika,” katanya dalam kapsyen yang tidak jelas.
“Saya akan memasang muzik untuk membangkitkan semangat saya,” tambahnya. – AFP

