ISTANBUL, 18 APRIL – Puluhan individu termasuk wartawan dihadapkan ke mahkamah di Istanbul hari ini, atas tuduhan menyertai perhimpunan haram dan ingkar kepada arahan polis untuk bersurai dalam tunjuk perasaan anti-kerajaan yang tercetus susulan pemenjaraan Datuk Bandar pembangkang Istanbul, Ekrem Imamoglu.
Imamoglu, yang dilihat sebagai pencabar utama kepada pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan selama 22 tahun, ditahan pada 19 Mac lalu dan kemudiannya dipenjara atas tuduhan rasuah beberapa hari kemudian.
Pemenjaraannya secara meluas dianggap bermotifkan politik dan mencetuskan protes di seluruh negara. Namun kerajaan menegaskan badan kehakiman Turkiye beroperasi secara bebas.
Seramai 189 orang tertuduh, kebanyakannya pelajar universiti, mula membela diri atas tuduhan menyertai tunjuk perasaan haram dan enggan bersurai seperti diarahkan. Ada di antara mereka turut didakwa kerana memiliki senjata.
Empat jurugambar dan tiga wartawan yang membuat liputan semasa demonstrasi turut dibicarakan. Namun, mahkamah memutuskan untuk mengasingkan kes mereka daripada perbicaraan utama.
Kesemua tertuduh adalah antara lebih 2,000 orang yang ditahan dalam tunjuk perasaan besar-besaran terbesar di negara itu dalam lebih sedekad.
Ketika perbicaraan dibuka, para peguam memohon agar kesemua 189 tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan.
Antara yang dibicarakan ialah Derin Doga Kus, pelajar Universiti Istanbul berusia 23 tahun, yang ditahan dari rumahnya pada 24 Mac dan dibebaskan minggu lalu bersama puluhan pelajar lain. Pembebasan mereka menyusul selepas tekanan berterusan daripada ibu bapa yang hadir setiap hari di luar penjara Silivri, barat Istanbul. – AP
