Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar di mesir dibawa pulang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Jawatankuasa Biasiswa dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) pada masa ini dalam usaha untuk melaksanakan proses membawa pulang pelajar-pelajar yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap
    Negara Brunei Darussalam di luar negara antaranya Republik Arab Mesir yang ingin pulang secara sukarela.

    KHEU dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menjelaskan bahawa langkah berkenaan adalah salah satu inisiatif pihak kerajaan bagi menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam dalam mengambil kira perkembangan COVID-19 di luar negara pada masa ini.

    Dalam pada itu, KHEU turut memaklumkan bahawa semua pelajar yang berada di Republik Arab Mesir dalam keadaan baik seperti yang dimaklumkan oleh pihak Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di sana.

    Pada masa ini, pihak KHEU sedang giat berusaha bersama pihak Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) untuk melaksanakan proses membawa pulang pelajar-pelajar berkenaan dalam tempoh terdekat.

    Atas nasihat pihak Kementerian Kesihatan, semua pelajar akan menjalani pengasingan diri sama ada di tempat yang telah diaturkan oleh agensi kerajaan yang berkenaan atau di rumah masing-masing (tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan sepertimana yang dinyatakan dalam e-form yang disediakan).

    Sehubungan dengan itu, KHEU memohon kerjasama para ibu bapa dan penjaga pelajar supaya mengisikan e-form yang disediakan bagi melancarkan lagi proses pengemaskinian data dan sebagai rujukan bagi agensi-agensi kerajaan yang lain. ​

    Kenyataan menegaskan, kegagalan menuruti perintah pengasingan diri tersebut
    adalah satu kesalahan di bawah undang-undang. Sebarang pertanyaan mengenai perkara berkenaan boleh menghubungi Bahagian Biasiswa dan Sumber Tenaga Manusia, Jabatan Pengajian Islam di talian 2231064 (semasa waktu pejabat), talian 8188151 (hotline), e-mel biasiswa@jpi.edu.bn atau melalui pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir di talian +201099683368.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda