WASHINGTON, 15 Feb – Seorang pelajar yang dibuang sekolah telah diberkas kelmarin sejurus selepas membunuh 17 orang dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah sekolah tinggi di Florida, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis tempatan.
Syerif Broward County, Scott Israel, memberitahu media bahawa 12 orang terbunuh dalam bangunan sekolah, dua di luar premis itu, seorang di sebatang jalan raya berhampiran, manakala dua lagi di hospital akibat kecederaan.
Insiden tembakan itu berlaku di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas, Parkland di utara Miami.
Pihak sekolah berkata insiden berlaku ketika pelajar dibenarkan pulang.
“Kami telah mula menyiasat laman-laman webnya dan perkara-perkara di media sosial yang akan dilakukannya … sangat, sangat mengganggu,” kata Israel.
“Jika seseorang diduga untuk melakukan apa-apa peristiwa yang mengerikan dengan pergi ke sekolah dan menembak orang … tidak ada sesiapa atau tidak banyak penguatkuasaan undang-undang boleh lakukan mengenainya.”
“Hari ini adalah sangat mengerikan untuk Parkland,” kata Israel, bercakap tentang bandar dengan jumlah penduduk sekitar 30,000 orang, terletak 50 batu di utara Miami.
Sumber penguatkuasaan undang-undang memberitahu CBS News bahawa lelaki bersenjata itu menarik penggera kebakaran sebelum melepaskan tembakan, tetapi Israel tidak dapat mengesahkan laporan itu.
Penembak telah dikenal pasti sebagai Nikolaus Cruz, seorang pelajar berusia 19 tahun yang telah dibuang dari sekolah itu.
Dia diberkas sejurus selepas insiden tembakan dan raifal separuh automatik Colt AR-15 telah ditemui di lokasi kejadian.
“Doa dan ucapan takziah saya kepada keluarga mangsa insiden tembakan yang dahsyat di Florida. Tidak ada kanak-kanak, guru atau sesiapa sahaja yang harus berasa tidak selamat ketika berada di sebuah sekolah di bumi Amerika,” kata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Parkland baru-baru ini telah disenarai sebagai antara 10 bandar paling selamat di Florida. – Bernama/AFP