Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar gesa tindakan perubahan iklim

    SYDNEY, 30 Nov – Ribuan pelajar Australia tidak hadir ke sekolah hari ini bagi menyertai bantahan yang diadakan di seluruh negara bagi mendesak tindakan kerajaan terhadap perubahan iklim.

    Bantahan berkenaan diadakan tatkala lebih seratus kejadian kebakaran hutan dalam suhu yang panas di timur laut dan sehari selepas syarikat perlombongan India, Adani berikrar untuk meneruskan perlombongan arang batu secara besar-besaran dan berkontroversi.

    Para pelajar sekolah rendah dan menengah berhimpun di ibu-ibu negeri dan kawasan luar bandar di seluruh negara, dalam penolakan Perdana Menteri Scott Morrison yang sebelumnya berkata bahawa kanak-kanak seharusnya duduk di dalam bilik darjah.

    “Perdana menteri kami fikir bahawa kami seharusnya sekarang berada di sekolah atau mungkin anda yang seharusnya,” kata seorang pelajar berusia 13 tahun, Siniva Esera pada satu perhim-punan yang dihadiri lebih seribu orang di Sydney.

    “Bagaimana kami boleh berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa untuk melindungi masa depan bumi ini,” tambahnya.

    Awal minggu ini, Morrison memberitahu parlimen bahawa kerajaan komited untuk menangani perubahan iklim, “tetapi saya beritahu anda bahawa kami turut komited: kanak-kanak seharusnya pergi ke sekolah.”

    Para pelajar secara kreatif mengkritik perdana menteri berkenaan, yang digelar sebagai ScoMo, dengan kain rentang yang melucukan berkata, “Saya benci ScoMo berbanding sekolah.”

    Mereka turut membawa pelekat bagi menggesa kerajaan untuk menyekat projek lombong Adani, sehari selepas firma dari India itu mengumumkan akan meneruskan projek perlombongan arang batu di utara Queensland.

    “Sekiranya kita tidak menghentikan suhu meningkat lebih dua darjah, kita akan kehilangan Terumbu Sawar Besar Australia, Antartika akan mencair dan beruang kutub akan pupus,” kata Lucie Atkin-Bolton, 11 tahun pada perhimpunan itu. – AFP

    Ribuan pelajar sekolah rendah dan menengah Australia menyertai bantahan yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran perubahan iklim di Martin Place di Sydney, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda