Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar, guru Sekolah Kesuma Mekar dirai

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Bagi menghargai sumbangan berharga para pendidik serta meraikan pelajar cemerlang dalam pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum, sehubungan itu Sekolah Kesuma Mekar telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru di sekolah tersebut, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Awang Shahrizal bin Haji Emran.

    Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Kesuma Mekar, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail menyatakan tujuan sambutan itu diadakan adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan sumbangan guru-guru yang tidak kendur-kendurnya dalam menyampaikan perkhidmatan pendidikan serta bagi menzahirkan penghargaan pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum kepada murid-murid sekolah tersebut.

    Majlis telah menyaksikan sesi penyampaian cenderahati penghargaan dan anugerah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Cenderahati penghargaan diberikan khusus kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Pengelola Sekolah Kesuma Mekar 2008-2020 dan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Kesuma Mekar Berhad 2008-2020, Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bin Pengiran Metasan.

    Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menerima tanda penghargaan daripada tetamu kehormat. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH KESUMA MEKAR
    Gambar ramai tetamu kehormat bersama para pelajar, guru dan penerima anugerah. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH KESUMA MEKAR
    GAMBAR SERAHAN SEKOLAH KESUMA MEKAR

    Sementara itu Anugerah Pencipta Lagu Sekolah Kesuma Mekar diberikan kepada Pengiran Haji Mohd Yassin bin Pengiran Damit dan Anugerah Penggubah Muzik Lagu Sekolah Kesuma Mekar kepada Pengiran Mohamed Zulhilmi bin Pengiran Abdul Halim.

    Manakala Dayang Migawati binti Rais, Pengiran Mohamed Zulhilmi bin Pengiran Abdul Halim dan Dayang Roswani binti Haji Mohammad Wahap selaku penerima Anugerah Guru Dedikasi dan Anugerah Penghargaan Hari Guru juga diberikan kepada Dayang Migawati.

    Majlis turut menyaksikan cenderahati penghargaan diberikan kepada murid cemerlang PSR, Awang Muhammad Arshad bin Muhammad Rezan, Awang Adrianshah Qaiser bin Hamransah, Awang Muhammad Noor Ghazi Afif bin Mohammad Noor Faizan dan Dayang Farzana binti Fadly, Dayang Allysya Aimuni binti Kefli, Dayang Nuraisyah Bashirah binti Awang Muhammad Khairul Hazmin dan Dayang Nur Haziqah binti Mahali.

    Selain itu, cenderahati penghargaan juga diberikan kepada murid-murid yang memenangi pertandingan peringkat negara seperti Koir Lagu Patriotik, Sketsa Kata-kata Pantang Larang Orang Tua-tua, Bacaan Jawi dan Tausyeh.

    Majlis berkenaan turut diserikan dengan beberapa persembahan oleh murid-murid sekolah berkenaan termasuklah murid tadika dan murid rendah atas termasuk murid-murid yang berjaya memenangi pelbagai pertandingan aktiviti kokurikulum di peringkat negara. Di akhir majlis tersebut, bilik ibadah yang baharu siap dibina telah dibuka rasmi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda