BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Seramai 10 orang pelajar Sekolah Menengah (SM) Sufri Bolkiah telah diraikan atas pencapaian mereka menyempurnakan aktiviti pembungkusan rempah ratus Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, dalam majlis penyampaian sijil yang diadakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah pengurus syarikat berkenaan, Haji Mohd Nooh bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman, yang turut berkesudian menyampaikan sijil penyertaan kepada sembilan pelajar Program BTEC dan seorang pelajar Program Pra Vokasional.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada guru-guru program BTEC dan Pra Vokasional atas penglibatan mereka dalam aktiviti pembungkusan.
Turut hadir di majlis tersebut ialah para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan; pengetua, timbalan pengetua akademik, timbalan pengetua pentadbiran, guru-guru, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru, ibu bapa, penjaga dan pelajar.
Sementara itu, Pengetua SM Sufri Bolkiah, Dayang Krestina binti Haji Daud, dalam ucapannya merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak syarikat berkenaan dan pihak JSS atas aktiviti pembungkusan yang dilaksanakan di sekolah beliau yang merupakan projek kerjasama sejak tahun 2015.
Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak ibu bapa dan penjaga atas sokongan berterusan mereka terhadap pendidikan anak-anak mereka.
Di akhir majlis, Dayang Krestina, menyampaikan cenderamata kepada Haji Mohd Nooh.
SM Sufri Bolkiah merupakan sekolah menengah kerajaan kedua yang terlibat dalam pembungkusan rempah ratus daripada Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd.
Pada masa ini, terdapat empat buah sekolah menengah kerajaan yang terpilih melaksanakan aktiviti pembungkusan ini iaitu SM Sayyidina Abu Bakar, SM Sufri Bolkiah, SM Katok dan SM Pengiran Isteri Hajah Mariam.