Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Para pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat (AS), sama ada penerima biasiswa dan dibiayai sendiri, telah menghadiri orientasi pra-berlepas yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.
Orientasi berkenaan bertujuan untuk membantu pelajar membuat persediaan sebelum meninggalkan Brunei selepas permohonan diterima oleh universiti atau kolej di AS.
Pada acara itu, para pelajar dan ibu bapa mereka berpeluang bertemu dengan alumni universiti AS yang menawarkan tip menjalani persekitaran akademik, sosial dan budaya di Amerika.
Manakala itu, bahagian konsular Kedutaan AS di sini juga menyampaikan taklimat kepada peserta tentang permohonan visa pelajar dan menawarkan maklumat terkini mengenai prosedur perjalanan dan ketibaan di AS.
Pegawai Diplomasi Awam, Hannah Doyle dalam ucapannya berkata, belajar di AS membuka peluang yang luar biasa, di mana pelajar akan belajar daripada profesor bertaraf dunia di universiti-universiti terkemuka, dan memilih daripada rangkaian program yang belum pernah ada sebelum ini.
“Di samping itu mengalami kepelbagaian budaya, sambil mempersiapkan diri untuk berjaya dalam kerjaya masa depan,” jelasnya.
Sementara itu, temu bual media dengan salah seorang alumni universiti di AS, Dr Muiz yang merupakan bekas pelajar program doktor falsafah di Universiti Yale telah berkongsi pengalaman dan pandangan beliau semasa menuntut di sana.
“Belajar di AS sangat berbeza daripada belajar di United Kingdom (UK) di mana orang ramai lebih terbuka kepada pelbagai perbualan dan budaya,” jelasnya.
Beliau melanjutkan pengajian selama setahun di AS di bawah biasiswa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan.
“Melalui pengalaman yang diperolehi semasa melanjutkan pengajian di AS , ia telah membantu saya menjadi seorang pensyarah dan cendekiawan akademik kerana saya berpeluang belajar daripada profesor terkenal di Universiti Yale.
“Walaupun pada awalnya mencabar lebih-lebih lagi semasa melanjutkan pengajian bermula pandemik COVID-19, tapi Universiti Yale cekap bertindak dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar agar pelajaran tidak terjejas semasa pandemik tersebut,” tambahnya.
Para pelajar yang mengikuti orientasi berkenaan akan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di pelbagai institusi di seluruh AS termasuk Universiti Princeton, Universiti New York, Universiti California Los Angeles, Universiti George Washington, Universiti Texas A&M, Kolej Austin Community dan lain-lain
Mereka akan mengikuti pelbagai pengajian, termasuk kejuruteraan, perniagaan, kewangan, ekonomi, komunikasi, reka bentuk dan filem.
Pada sesi akademik 2022/2023, seramai 41 orang pelajar telah mendaftar di universiti-universiti dan institusi AS untuk program ijazah sarjana muda dan siswazah.



