Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seramai 20 pelajar bersama dengan dua guru dari Universiti Metropolitan Hong Kong berpeluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat dan mengetahui lebih lanjut mengenai sektor pertanian di Negara Brunei Darussalam semasa lawatan ke Ladang Pertanian Hua Ho, hari ini.
Rombongan pelajar dan guru berkenaan akan berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan sambil belajar selama seminggu bermula pada 25 Ogos hingga 31 Ogos di mana mereka telah melawat ke beberapa buah ladang, Kedutaan China di Negara Brunei Darussalam dan Unversiti Brunei Darussalam.
Rombongan pelajar dan guru berkenaan telah dialu-alukan oleh wakil dari Ladang Pertanian Hua Ho, Jay Choo Jun Lee di mana dalam taklimatnya mengenai Ladang Pertanian Hua Ho menerangkan bahawa ladang berkenaan adalah salah satu ladang yang mapan di Negara Brunei Darussalam dan ia juga merupakan ladang berasaskan bebas racun perosak.
Dalam temu bual ringkas bersama Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar Universiti Metropolitan Hong Kong, Marco Yau Long Yin, beliau menerangkan bahawa mereka telah memilih Negara Brunei Darussalam sebagai negara lawatan pendidikan mereka kerana negara ini tidak begitu dikenali oleh rakyat Hong Kong dan mereka ingin mengetahui lebih lanjut.
“Oleh itu kami ingin membiarkan pelajar mengalami dan mempelajari lebih lanjut tentang Brunei.


“Kami telah membuat kajian mengenai Brunei secara dalam talian dan mendapati terdapat beberapa projek Satu Jalur Satu Laluan di Brunei Darussalam. Projek itu juga merupakan sebahagian daripada lawatan pendidikan kami untuk membolehkan pelajar memahami kemajuan syarikat China di negara lain,” ujar beliau.
“Perjalanan ini juga membolehkan pelajar keluar untuk meneroka potensi mereka dan bukan hanya tinggal di Hong Kong,” tambahnya.
Mengongsi mengenai pengalaman semasa melawat di ladang berkenaan, Marco Yau menyatakan amat teruja untuk menyaksikan ladang di Brunei kerana amat sukar untuk melihat ladang di bandar konkrit seperti Hong Kong melainkan awda pergi agak jauh di pinggir.
“Ia benar-benar satu pengalaman yang baik untuk pelajar apabila melawat ladang Brunei,” kata beliau.
Di samping itu, beliau merasakan bahawa orang Brunei sangat peramah dan mesra di mana mereka sentiasa sangat ingin membantu mereka yang memerlukan.

