Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 FEB – Sebagai sebahagian daripada Modul Perusahaan dan Inovasi di Sekolah Perdagangan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC), lebih 50 orang pelajar mendirikan gerai di persekitaran kampus dalam bazar yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.
Semasa Bazar ‘Innovate Brunei 2020’ itu, para pelajar menjual pelbagai makanan tradisi dengan sentuhan moden yang dihasilkan sendiri oleh para pelajar.
Antara makanan yang dijual adalah kuih tradisional seperti bingka yang dibuat dengan tambahan jagung asli, popiah berperisa coklat, karipap berperisa carbonara dan kuih jala disalut dengan krim.
Bazar yang dibukakan kepada warga kampus itu memberikan peluang bagi para pelajar mendapatkan pengalaman berharga, bukan sahaja dalam menghasilkan idea-idea inovatif dan berfikir di luar kotak, malah bagaimana menguruskan perniagaan.
Bagi acara itu, para pelajar semester 2 NTec dibahagikan kepada lapan kumpulan iaitu Kampung Street, Sweet Tooth, Miss Bingka, Sparkle Rinkle, 245 Street, Donde Rue, Night Fiesta dan 2Neight.
Guru modul berkenaan, Joey Wong ketika ditemui menjelaskan bahawa tarikan utama bazar berkenaan adalah bagaimana para pelajar menunjukkan keunikan dan kreativiti mereka.
Objektif utama bazar berkenaan adalah sebagai penilaian penuntut dan platform bagi mempamerkan idea dan kemahiran dalam aktiviti keusahawanan secara berkumpulan selain menamatkan penilaian praktikal untuk modul Enterprise and Innovation bagi Semester 2.
