Oleh Daniel Lim
BELAIT, 15 JUN – Sebagai sebahagian daripada kursus HNTec dalam Perniagaan (Pengurusan Perniagaan) dalam menawarkan peluang kepada pelajar untuk belajar dalam persekitaran realistik, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) telah memulakan Perniagaan IBTE Eat n Play di premis Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) hari ini.
Ditaja dan disokong BSRC, terdapat sembilan petak Eat n Play didirikan oleh pelajar serta usahawan dan perniagaan tempatan.
Bercakap mengenai acara itu, pengajar modul pengurusan di IBTE SBC, Dayang Alipah Aini binti Aliakat menjelaskan bahawa acara dianjurkan sebagai sebahagian daripada ujian praktikal untuk 51 pelajar yang belajar di bawah Modul Pengurusan Acara dalam HNTec dalam Perniagaan.
“Ia membantu mewujudkan persekitaran di mana pelajar bukan sahaja boleh mempraktikkan ilmu pengetahuan teori yang ditimba sejak Februari tahun ini tetapi juga menguji kemahiran pengurusan mereka dalam menganjur dan mengendalikan acara besar-besaran, seperti menguruskan vendor dan pelanggan,” tambahnya.
Beliau berharap pengalaman yang diperoleh pelajar dalam acara Eat n Play akan membantu membentuk asas selain memupuk minat dalam kalangan pelajar untuk meneruskan kerjaya dalam pengurusan perniagaan.
Petak-petak yang didirikan menampilkan pelbagai makanan dan minuman, permainan dan aktiviti menyeronokkan, seperti bouncer, bubble station, kafe Korea dan sebagainya.