Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Berjaya Sdn Bhd, pengedar sah kenderaan GWM di Negara Brunei Darussalam bersama Bayu Ilham Motors, penyedia perkhidmatan sah GWM, telah mengalu-alukan lawatan rombongan pelajar dan tenaga pengajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) melalui program Future Mobility Talent Trail yang bertujuan menghubungkan pembelajaran bilik darjah dengan amalan sebenar industri automotif.
Program berkenaan memberi peluang kepada para pelajar merasai pengalaman secara langsung mengenai ekosistem automotif GWM bermula dengan lawatan ke bilik pameran dan pusat servis Berjaya Sdn Bhd serta diteruskan ke stesen pemeriksaan kenderaan dan bengkel badan kenderaan Bayu Ilham Motors.

Lawatan itu turut merangkumi sesi pembentangan laluan kerjaya yang menekankan peluang terancang bagi belia tempatan untuk menceburi bidang teknikal dan bukan teknikal dalam sektor automotif.
Menerusi demonstrasi yang dipandu serta interaksi bersama pakar industri, para pelajar didedahkan dengan proses penyelenggaraan kenderaan, pemeriksaan, teknik pembaikan serta teknologi automotif terkini.

Kerjasama antara Berjaya Sdn Bhd, Bayu Ilham Motors Sdn Bhd dan IBTE itu sekali gus menzahirkan komitmen bersama dalam melahirkan tenaga mahir automotif masa depan, selaras dengan hasrat negara membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri mobiliti yang terus berkembang.
Pada majlis tersebut, Awang Mohd Tali bin Haji Mirasan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil IBTE sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.


